FAHMI (kanan) melawat studio penerbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beramah mesra bersama petugas media yang membuat liputan sepanjang berlangsungnya Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 ketika melawat pusat media di Bangunan Parlimen. Turut sama Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (dua kanan). FOTO Bernama
FAHMI (kanan) melawat studio penerbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beramah mesra bersama petugas media yang membuat liputan sepanjang berlangsungnya Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 ketika melawat pusat media di Bangunan Parlimen. Turut sama Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (dua kanan). FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Terdapat keperluan bagi kerajaan negeri dan agensi kerajaan di negara ini untuk memperuntukkan sejumlah belanjawan bagi meningkatkan aspek keselamatan siber di agensi masing-masing.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata perkara itu perlu diberi penekanan sebagai usaha memastikan data yang disimpan akan terus terpelihara, sekali gus mengelakkan kebocoran data.

"Salah satu perkara yang penting insya-Allah kita harap akan dapat diumumkan esok (menerusi Belanjawan 2023) oleh Yang Amat Berhormat Tambun (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah penekanan pihak kerajaan tentang aspek keselamatan siber.

"Kita sedang cuba untuk membolehkan satu audit keselamatan siber dilakukan di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, tetapi kita harap ada pengumuman baik daripada Yang Amat Berhormat Tambun esok," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai tindakan baharu yang telah dan akan diambil kerajaan bagi menangani isu pencerobohan data.

– LAGI

PERLU PERUNTUKAN TINGKAT KESELAMATAN - 2

Selain itu, Fahmi berkata kerajaan juga sedang meneliti semula dasar kriptografi negara untuk memperkemas aspek keselamatan data di Malaysia.

Menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) tentang tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab ke atas penggodaman laman sesawang kerajaan Pulau Pinang, Fahmi berkata laporan mengenai perkara itu telah diterima CyberSecurity Malaysia (CSM) dan tindakan telah diambil pada 19 Jan lepas.

Beliau berkata CSM telah memohon kepada Bahagian Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kerajaan negeri, maklumat yang boleh diekstrak bagi tujuan analisis untuk mengenal pasti punca dan langkah yang boleh diambil untuk membetulkan semula sistem itu.

Fahmi berkata setiap organisasi kerajaan perlu sentiasa memastikan tahap keselamatan sistem maklumat mematuhi garis panduan dan amalan baik keselamatan siber, selain pengguna sistem perlu mempertingkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang perkara itu.

Katanya organisasi juga boleh merujuk laman sesawang https://www.mycert.org.my/ untuk ancaman keselamatan siber semasa dan langkah terhadap ancaman tersebut, laporan kerentanan produk ICT dan aplikasi, panduan kemas kini keselamatan dan panduan keselamatan sistem dan rangkaian secara menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 5:40 PM