BENDERA  Sarawak dikibar setetengah tiang. FOTO Nadim Bokhari
BENDERA Sarawak dikibar setetengah tiang. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching: Bendera Sarawak, Ibu Pertiwi dikibar separuh tiang sebagai menghormati pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Semua premis mula menurunkan kibaran bendera sejurus menerima arahan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pagi tadi.

Turut diturunkan, bendera ikonik di Dataran Ibu Pertiwi yang terletak bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Abdul Taib yang juga Ketua Menteri paling lama berkhidmat di negara ini menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada jam 4.28 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Kuching tengah hari ini dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 3 petang, bukannya Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching seperti dalam makluman awal.

Jenazah kemudian akan ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 8 pagi esok untuk penghormatan terakhir sehingga 11.30 pagi.

Jenazah Allahyarham akan disemadikan dalam upacara pengebumian negeri di Tanah Perkuburan Demak Jaya, petang esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 12:14 PM