Sarawak isytihar berkabung dua hari.
Sarawak isytihar berkabung dua hari.
BERNAMA

Kuching: Kerajaan Sarawak mengisytiharkan berkabung selama dua hari bermula hari ini sebagai menghormati pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Kerajaan Sarawak dalam kenyataan rasmi memaklumkan bendera di seluruh Sarawak juga akan dikibarkan separuh tiang dan sebarang acara hiburan ditangguhkan.

"Masjid dan rumah ibadat adalah digalakkan untuk mengadakan majlis doa bagi memperingati pemergian Tun Abdul Taib," menurut kenyataan itu.

Jenazah Abdul Taib dijangka tiba dari Kuala Lumpur petang ini dan akan terus dibawa ke kediaman Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini.

"Jenazah akan akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (Dun) esok dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir bermula 8 pagi hingga 11.30 pagi.

"Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengkebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya," menurut kenyataan itu.

Abdul Taib Mahmud, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur, awal pagi ini.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib adaah perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak, apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum ini.


Sarawak isytihar berkabung dua hari

'Saya kehilangan guru politik' - Nancy Shukri

Jemaah Menteri rakam takziah kepada keluarga Tun Taib Mahmud - Fahmi

Pemergian Tun Abdul Taib satu kehilangan besar buat Sarawak dan negara - TPM

Perginya Bapa Pemodenan Sarawak

Tun Abdul Taib meninggal dunia


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 10:28 AM