JOHARI Ismail berucap pada sidang media selepas majlis Menandatangani Surat Hasrat Kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM). FOTO Sadiq Sani
JOHARI Ismail berucap pada sidang media selepas majlis Menandatangani Surat Hasrat Kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM). FOTO Sadiq Sani
Raja Noraina Raja Rahim


Bangi: Muslim Care Malaysia Society (MCM) menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menghasilkan Kamus Braile Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu yang pertama di dunia.

Kamus bagi kegunaan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang sedang dalam proses penghasilan itu dijangka boleh digunakan oleh golongan sasaran sebelum penghujung tahun ini.

Timbalan Presiden MCM Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya memperuntukkan sumbangan RM130,000 bagi menghasilkan kamus berkenaan yang akan memberi manfaat kepada 50,000 pelajar cacat penglihatan di seluruh negara.

"Alhamdulillah, kini kami mara setapak lagi dalam program untuk kebajikan ummah dengan penajaan sumbangan bagi menghasilkan naskah kamus braile dwi bahasa Inggeris dan Melayu.

"Penerbitan kamus ini disifatkan satu usaha kebajikan yang sangat murni dan MCM tidak teragak-agak menawarkan diri untuk bekerjasama dalam projek ini yang bakal memberi manfaat kepada hampir 50,000 OKU penglihatan.

"Malah, kamus ini juga boleh dimanfaatkan oleh golongan cacat penglihatan di negara jiran yang turut bertutur menggunakan Bahasa Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Surat Hasrat Kerjasama Antara MCM dan Fakulti Pendidikan UKM, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat, Fakulti Pendidikan UKM Dr Khairul Azhar Jamaludin, Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar serta Penyelaras Surat Hasrat, Fakulti Pendidikan UKM dan MCM Dr Mohd Norazmi Nordin.

Sementara itu, Mohd Norazmi berkata, beliau bersyukur apabila projek penerbitan kamus braile mendapat kerjasama MCM yang menghulurkan sumbangan bagi menampung keseluruhan kos menyiapkan 20 jilid kamus itu.

Menurutnya, ia menelan belanja lebih besar berbanding kamus biasa kerana memerlukan jumlah muka surat yang lebih banyak selain kepakaran daripada golongan terbabit.

"Jika kamus biasa mempunyai 500 muka surat tetapi kamus braile memerlukan antara 1,200 sehingga 1,500 muka surat.

"Kita juga menggunakan kepakaran orang buta untuk memastikan kamus dihasilkan betul dan tepat. Kita jangka ia mengambil masa antara enam bulan ke setahun untuk disiapkan," katanya.

Sebaik siap, beliau berkata, kamus itu akan dihantar ke sekolah khas cacat penglihatan yang terpilih, perpustakaan negara dan negeri serta perpustakaan swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 1:11 PM