WAN Ahmad Arshad menunjukkan manuskrip  Siratul Mustaqim dan Durr al-Faraid bertarikh 1634 dan 1630 Hijrah karangan Sheikh Nuruddin Ar Raniri.
WAN Ahmad Arshad menunjukkan manuskrip Siratul Mustaqim dan Durr al-Faraid bertarikh 1634 dan 1630 Hijrah karangan Sheikh Nuruddin Ar Raniri.
Azhar Shahrulnizam

Kuala Lumpur: Penemuan kitab fekah, Siratul Mustaqim dan tauhid, Durr al-Faraid yang berusia lima abad membuktikan usaha ulama terdahulu memakmurkan orang Melayu dengan dakwah Islam sudah lama wujud.

Kedua-dua kitab itu adalah yang tertua dalam bidang fekah dan tauhid yang ditemui dalam bahasa Melayu setakat ini.

Kitab Siratul Mustaqim dan Durr al-Faraid ditulis Syeikh Nuruddin ar-Raniri pada 1634 dan 1630.

Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah ulama berbangsa campuran Arab dan Melayu dilahirkan di Ranir, India. Ayahnya berbangsa Arab, manakala ibu Melayu.

Menurut pengkaji sejarah, Wan Ahmad Arshad, 57, jika kitab ini tidak ditulis pada abad ke-16, mungkin pada abad ke-18 dan 19 baru ada kitab fekah dan tauhid dalam bahasa Melayu yang ditulis ulama lain.

Tanpa kitab berkenaan, katanya, jurang ilmu yang wujud pada ketika itu sangat besar iaitu ratusan tahun.

"Malah, kamus Melayu Arab yang ditemui di Malaysia adalah pada 1920. Maknanya usaha menyampaikan dakwah dalam bahasa Melayu kepada masyarakat tempatan sudah lama wujud.

"Saya tidak menafikan wujud ulama terdahulu, terutama dari Kedah, Terengganu dan Kelantan menulis kitab, tetapi keberadaan kitab berkenaan tidak dapat dikesan.

"Ada satu naskhah kitab tauhid ditulis ulama Kedah ditemui, tetapi hanya satu muka surat yang ada, selebihnya tidak dijumpai. Setakat ini, melalui semakan di perpustakaan negara, ini kitab tertua, malah lebih tua daripada yang tersimpan di perpustakaan negara," katanya.

Beliau menjelaskan, Siratul Mustaqim dan Durr al-Faraid juga lengkap dalam bentuk berjilid dari muka surat hadapan sehingga belakang.

Menurut pemilik Galeri Pusaka Moyang ini, kedua-dua kitab itu warisan turun-temurun keluarganya, malah beliau juga mempunyai senaskhah al-Quran dipercayai berusia 709 tahun.

"Signifikan penemuan ini adalah pada waktu dahulu, orang Melayu tidak mempunyai pengetahuan bahasa Arab dan apabila naskhah ini diditulis Syeikh Nuruddin ar-Raniri, ia memberi manfaat kepada keseluruhan masyarakat Melayu.

"Untuk mendapatkan ilmu daripada ulama terdahulu, bayangkan pula kitab Melayu fekah dan tauhid yang seterusnya ditulis, katakan pada awal abad ke-19, jika dibiarkan, berlaku kelompongan selama 400 tahun di situ," katanya.

Wan Ahmad berkata, proses menentukan usia kitab memakan masa agak lama kerana beliau tidak mahu melakukan tuntutan tanpa bukti dan fakta.

"Kami ada melakukan semakan dengan beberapa pakar sebelum dibawa ke Perpustakaan Negara untuk melihat adakah tarikh dan penceritaan dalam kitab itu selari. Maksudnya kandungannya tepat dengan dengan masa kitab ditulis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 7:00 AM