GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Sentul: Berselindung di sebalik premis perniagaan, lapan lelaki ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian yang baru beroperasi sejak seminggu lalu di Bandar Manjalara Kepong, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam satu serbuan dijalankan sepasukan polis Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul ke atas sebuah premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian pada 6.30 petang, semalam.

"Seramai lapan lelaki berusia 25 hingga 62 tahun berjaya ditahan kerana disyaki terbabit dalam perjudian ini. Tiga daripada mereka disyaki terbabit perjudian mahjong, empat lagi bermain perjudian atas talian manakala seorang lagi adalah penganjur.

"Kegiatan ini dipercayai beroperasi di sekitar kawasan Kepong sejak seminggu yang lalu dan siasatan awal mendapati kegiatan ini berselindung di sebalik premis perniagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil daripada tangkapan, polis berjaya merampas pelbagai peralatan perjudian mahjong, komputer pelbagai jenama, modem komputer, buku catatan perniagaan dan juga wang tunai berjumlah RM4,636.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 15/11/2021 untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam aktiviti perjudian.

"Kami menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak terbabit dalam aktiviti tidak bermoral seperti perjudian dalam talian dan juga perjudian mahjong ini," katanya.

Katanya, tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian

03-40482206.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 10:06 PM