Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan masuk 27,000 liter air zamzam di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, 21 Jun lalu.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata, pasukan operasi daripada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah memeriksa kontena yang masuk melalui pintau masuk pelabuhan berkenaan.

"Kontena bersaiz 40 kaki (12.2 meter) itu diikrarkan sebagai barang peribadi dari negara Timur Tengah dan wakil perkapalan gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan mengimport.

"Pemeriksaan ke atas kontena terbabit menemui 27,000 liter produk cecair disyaki air mineral berjenama 'Zam-Zam Water,'" katanya pada sidang media di JKDM Zon Tengah, di sini, hari ini.

Mohammad Sabri berkata, rampasan dianggarkan bernilai RM601,260 dan duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM180,380.

"Air zamzam diklasifikasi sebagai barang larangan import di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga / Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Pengimport dan ejen penghantaran yang disyaki terbabit dalam pengimportan air zamzam ini sedang disiasat," katanya.

Menurutnya, kesdisiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam rampasan berasingan, Mohammad Sabri berkata, pihaknya merampas 667 kilogram (kg) tembakau kunyah di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, 6 Jun lalu.

"Pengimport didapati mengikrarkan barang berkenaan sebegai barang keperluan rumah namun siasatan di dua kontena itu menemui tembakau berkenaan.

"Tembakau itu disembunyikan di belakang muatan kontena. bersama selipar getah dan produk makanan lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa,"katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 1:19 PM