AIR zam zam yang dirampas JKDM.
AIR zam zam yang dirampas JKDM.
Raja Noraina Raja Rahim


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 83,000 liter air zam zam dianggarkan bernilai RM1.3 juta dalam pemeriksaan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Khamis lalu.

Rampasan susulan pemeriksaan ke atas tiga kontena itu membabitkan nilai duti dan cukai sebanyak RM343,000.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, pihaknya menahan tiga kontena di Pelabuhan Barat yang diikrarkan bermuatan buah kurma.

"Kontena berkenaan dikatakan bermuatan makanan dari Timur Tengah di dalam manifes import (K4) bagi tujuan import.

"Hasil pemeriksaan, kita mendapati dagangan yang dibawa adalah air zam zam yang diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JKDM sedang mengesan pengimport dan ejen penghantaran yang terbabit dalam pengimportan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelak duti kastam dan larangan import.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda 10 kali nilai barang atau RM50,000 mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.

"Bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dikenakan denda 20 kali nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih 40 kali nilai barang atau RM1 juta atau penjara sehingga tujuh tahun," katanya.

Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihat tidak terbabit aktiviti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 5:27 PM