GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Perselisihan berkaitan hutang menyebabkan seorang lelaki tergamak membelasah teman wanitanya dengan kayu penggiling adunan tepung sehingga cedera di sebuah pangsapuri di daerah ini.

Bagaimanapun perbuatan lelaki itu mengundang padah apabila ditahan polis semalam selepas kejadian itu dilaporkan oleh pegawai perubatan Hospital Selayang.

Mangsa yang cedera dipukul mendapatkan rawatan di hospital terbabit pada 8 pagi, 30 Januari lalu.

Difahamkan, wanita terbabit dipukul kerana menagih hutang berjumlah RM300 daripada teman lelakinya itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa berusia 29 tahun mengalami kecederaan di kepala dan tangan dalam kejadian itu.

Menurutnya, hasil siasatan, polis menahan suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai penghantar kurier itu di Kampung Baru, Ampang kira-kira 5 petang, semalam.

"Kita turut merampas satu kayu penggiling adunan tepung yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.

"Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau atas kesalahan dadah, dan keputusan ujian saringan air kencing ke atasnya didapati positif dadah methamphetamine dan amphetamine," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, siasatan mendapati motif kejadian adalah disebabkan perselisihan berkait isu hutang antara mangsa dan suspek.

"Suspek kini direman empat hari hingga 9 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 5:46 PM