SEORANG penduduk Felda Laka Selatan, Changlun menoreh getah pada waktu malam berikutan cuaca panas. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SEORANG penduduk Felda Laka Selatan, Changlun menoreh getah pada waktu malam berikutan cuaca panas. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Bukit Kayu Hitam: Cuaca panas yang melanda negeri ini memaksa kira-kira 70 penduduk di Felda Laka Selatan, Changlun di sini memilih untuk menoreh pada waktu malam sejak awal tahun ini.

Mereka berbuat demikian kerana tidak tahan dengan bahang panas pada waktu siang selain terpaksa memendekkan tempoh menoreh pada waktu pagi.

Pengerusi Biro Ladang Felda Laka Selatan, Mohd Jamil Shahbidin, 63, berkata, cuaca panas yang semakin mencengkam menyebabkan penoreh hanya boleh menoreh pada 7 hingga 9 pagi sahaja menyebabkan hasil susu getah semakin berkurangan.

"Cuaca di sebelah malam lebih sejuk, jadi lebih 90 peratus penoreh di sini keluar menoreh pada waktu malam untuk tempoh yang lebih lama. Ada yang mula menoreh jam 9 malam dan kadang-kadang boleh sampai 4 pagi.

"Kalau siang, hasil sedikit sebab susu getah menitik dua jam sahaja dan jika malam boleh menitik antara tiga hingga lebih lima jam," katanya ketika ditemui malam tadi.

Bagi Penoreh, Rodhi Md Rejab, 47, dia rasa lebih selesa menoreh pada waktu malam kerana suhu lebih sejuk dan hasil pun lebih.

"Pada musim kemarau dan musim daun luruh ini, beza menoreh siang dan malam adalah antara 30 hingga 40 peratus. Contohnya kalau menoreh siang sekarang ini dalam seminggu dapat 200 kilogram (kg) getah sekerap, kalau malam dalam jangka masa sama akan dapat antara 250 ke 300 kg," katanya.

Bagaimanapun katanya, penoreh perlu lebih berhati-hati dengan haiwan berbisa memandangkan kawasan ladang yang gelap-gelita dengan mereka hanya berbekalkan lampu suluh di kepala.

Seorang lagi penoreh, Mohd Nor Hamid, 75, berkata, dia biasanya akan keluar menoreh bersama dua rakannya selepas waktu Isyak hingga awal pagi.

"Kalau waktu malam boleh dapat lama sikit sebab sejuk, jadi waktu siang kami boleh berehat dan banyak duduk di dalam rumah sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 11:58 AM