Nancy Shukri
Nancy Shukri
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kes keganasan rumah tangga direkodkan menurun tahun lalu dengan sebanyak 5,507 kes dilaporkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes yang dilaporkan itu menurun sebanyak 1,033 kes berbanding 6,540 kes pada tahun 2022.

Bagaimanapun katanya, penurunan kes itu dikenal pasti berlaku kerana masih banyak yang tidak dilaporkan kerana ia dianggap sebagai masalah keluarga atau peribadi.

"Kebanyakan kes keganasan dilakukan oleh individu yang dikenali oleh mangsa seperti suami, bekas suami atau teman lelaki.

"Ini menyebabkan kes tidak dilaporkan kerana dianggap sebagai masalah keluarga atau peribadi malah ada juga mangsa yang tidak tahu cara untuk membuat laporan," katanya dalam ucapan pada Program Semarak Skuad Waja Negeri Sarawak 2024, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.

Nancy berkata, keganasan terhadap wanita adalah isu sejagat yang berlaku di seluruh dunia yang melangkaui batas agama, bangsa dan budaya.

Menurutnya, mangsa sering memilih untuk tidak melaporkan kekerasan yang dialami kerana takut pelaku dan tekanan sosial daripada keluarga atau rakan.

Justeru katanya, kesedaran dan pemahaman mengenai isu keganasan rumah tangga penting untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat tercapai.

"Penubuhan Skuad Waja adalah langkah positif untuk membentuk membangunkan kolaborasi yang baik antara kerajaan dan masyarakat untuk mengatasi isu keganasan terhadap wanita.

"Program sukarelawan Skuad Waja, di bawah JPW bertujuan memperkasakan komuniti dengan menyediakan bimbingan psikososial dan melaksanakan aktiviti komuniti," katanya

Menurutnya, program itu merangkumi pelbagai aspek seperti kesejahteraan, kepimpinan, keselamatan, dan ekonomi untuk meningkatkan kesedaran tentang jenayah terhadap wanita.

"Skuad Waja berfungsi sebagai ejen perubahan yang meningkatkan pengetahuan wanita dalam hal perundangan, modus operandi jenayah dan tindakan yang perlu diambil.

"Pendedahan ilmu serta aktiviti Skuad Waja dapat menjadikan mereka berdikari, berani, dan sensitif terhadap keperluan masyarakat," katanya.

Selain itu katanya, Skuad Waja juga bertindak sebagai sumber rujukan untuk masyarakat dalam menangani keganasan terhadap wanita dan membantu mangsa merujuk kes kepada pihak berwajib serta mendapatkan bantuan profesional.

"Sebab itu, JPW menganjurkan program ini yang bertujuan menyampaikan peranan Skuad Waja sebagai penggerak utama dalam komuniti dan sebagai 'first responder' dalam menghadapi isu sosial, memberikan sumbangan penting kepada pembangunan sosial dan memperkuatkan masyarakat yang penyayang dan prihatin.

"Sejak ditubuhkan pada tahun 2021 hinggalah Disember 2023, Skuad Waja mempunyai seramai 329,221 orang ahli iaitu 254,506 wanita dan 74,715 lelaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 3:18 PM