NANCY Shukri. FOTO Bernama.
NANCY Shukri. FOTO Bernama.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Ketua masyarakat perlu dipertanggungjawabkan terhadap kes gangguan seksual dan keganasan rumah tangga yang berlaku di kawasan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya akan meminta kerajaan negeri supaya memasukkan kes berkenaan ke dalam skop tugas ketua masyarakat.

Katanya, tindakan itu berikutan banyak kes berkenaan berlaku dalam masyarakat, maka ia perlu ditangani dari dalam masyarakat itu sendiri, sebelum dirujuk kepada pihak berkuasa.

"Sebelum ini kita sudah meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menyediakan direktori berhubung penambahan tugas ketua masyarakat itu, namun kini ia juga akan diperluaskan kepada kerajaan negeri.

"Ketua masyarakat adalah di bawah seliaan kerajaan negeri dan KPWKM akan menulis surat kepada kerajaan negeri berhubung permohonan untuk membuat penambahan dalam skop tugas ketua masyarakat.

"Walaupun kita sedia maklum memang ramai ketua masyarakat yang sudah tahu tanggungjawab mereka, namun usaha berterusan perlu dilakukan bagi memperkasakan tindakan membendung masalah gangguan seksual dan keganasan rumah tangga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Semarak Skuad Waja Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Nancy berkata, menerusi langkah itu, ketua masyarakat akan menangani masalah di kawasan tanggungjawabnya sebelum dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes gangguan seksual meningkat 308 kes pada 2019 kepada 378 kes pada 2020 dan 506 kes pada 2021, sebelum menurun kepada 477 kes pada 2022.

"Statistik menunjukkan bahawa setiap tahun lebih 90 peratus daripada kes gangguan seksual membabitkan wanita (tetapi) ada juga kes termasuk keganasan rumah tangga membabitkan mangsa lelaki dan ia perlu ditangani bermula dalam masyarakat kerana mungkin mangsa takut atau malu untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 4:49 PM