RINA (tengah) bergambar kenangan bersama Skuad Waja pada Majlis Perhimpunan Semarak Skuad Waja Kebangsaan 2022, hari ini. FOTO Bernama.
RINA (tengah) bergambar kenangan bersama Skuad Waja pada Majlis Perhimpunan Semarak Skuad Waja Kebangsaan 2022, hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Serdang: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan sejuta ahli Keluarga Malaysia menyertai Skuad WAJA atau wanita antijenayah menjelang hujung tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Semarak Skuad WAJA Kebangsaan 2022 di sini hari ini, Rina berkata skuad itu kini disertai 326,500 orang melibatkan penyertaan 252,139 golongan wanita dan 74,361 lelaki.

"Dengan sasaran ini, sekali gus kita (KPWKM) mahu hapuskan semua bentuk penderaan, keganasan atau penindasan terhadap kaum wanita. Wanita perlu disayangi dan dilindungi bukannya disakiti.

"Walaupun pada awalnya Skuad WAJA kita buka penyertaan kepada golongan wanita, tapi kerana ada permintaan dari golongan lelaki, maka kita buka penyertaan (kepada golongan lelaki) dan sehingga kini ada lebih 15 peratus penyertaan golongan lelaki dalam Skuad WAJA. Alhamdulillah dalam tempoh setahun ini, penyertaan amat memberangsangkan," katanya.

Skuad WAJA merupakan skuad sukarelawan di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang dilancarkan pada Oktober 2021, berperanan sebagai ejen serta mata dan telinga kerajaan dalam komuniti bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah. Skuad itu juga berperanan menyediakan bantuan awal kepada mangsa yang berhadapan dengan situasi keganasan atau penindasan.

Pada majlis sama, Rina turut melancarkan Modul Skuad WAJA 2.0: Inspirasi Sukarelawan yang ditambah baik dari modul yang diguna pakai sebelum ini dengan penambahan aspek psikospiritual.

Katanya, modul tersebut telah dibangunkan JPW dengan kerjasama ahli akademik, pakar perubatan dan psikiatri dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia.

"Pembentukan modul baharu ini bertujuan mempersiapkan ahli Skuad WAJA dalam mengatasi masalah berkaitan kecemasan dan bencana khususnya sewaktu menyantuni komuniti yang memerlukan pendekatan spiritual atau agama. Ia menumpukan kepada terapi pendekatan kerohanian untuk menangani tekanan, membina ketahanan diri serta sihat mental dan emosi," katanya.

Berkongsi jumlah individu yang telah disantuni Skuad WAJA, Rina berkata sehingga 31 Ogos lepas seramai 72,694 individu telah mendapat manfaat melalui program psikososial 4K (keseimbangan, kemahiran, kewangan dan kepimpinan) yang dianjurkan skuad terbabit.

Beliau menyifatkan jumlah itu sebagai suatu pencapaian membanggakan bagi skuad yang baharu setahun ditubuhkan dengan memberi impak positif kepada golongan memerlukan selain meningkatkan semangat kepimpinan dalam komuniti.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 (AGS 2021) yang diluluskan di Parlimen pada 20 Julai lepas akan diwartakan tidak lama lagi.

RUU AGS 2021 adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual; penubuhan Tribunal bagi anti gangguan seksual; menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 6:47 PM