Pasukan Polis Marin (PPM) merampas rokok putih dan kretek pelbagai jenama tanpa cukai kastam dianggarkan bernilai RM2.8 juta dalam pemeriksaan di sebuah rumah dan lori di Changkat Jering, Taiping, semalam. FOTO IHSAN PPM
Pasukan Polis Marin (PPM) merampas rokok putih dan kretek pelbagai jenama tanpa cukai kastam dianggarkan bernilai RM2.8 juta dalam pemeriksaan di sebuah rumah dan lori di Changkat Jering, Taiping, semalam. FOTO IHSAN PPM
Noor Hidayah Tanzizi


Taiping: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas rokok putih dan kretek pelbagai jenama tanpa cukai kastam dianggarkan bernilai RM2.8 juta dalam pemeriksaan di sebuah rumah dan lori di Changkat Jering, di sini, semalam.

Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang juga pemilik rumah dan kenderaan berat itu turut ditahan dalam serbuan pada 6 petang.

Komander PPM Wilayah Satu Kampung Acheh, Perak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya menemukan 6,550 karton rokok putih dan 2,710 karton rokok kretek bernilai RM1,259,004 di bahagian dalam rumah dan stor rumah.

Menurutnya, pemeriksaan pada lori di belakang rumah suspek pula menemukan sejumlah kotak rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,594,760.

"Pemeriksaan di bahagian belakang lori itu menemui 7,800 karton rokok putih dan 4,150 karton rokok kretek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsol berkata, rumah dan lori berkenaan yang sudah rosak sejak setahun lalu dijadikan tempat menyimpan rokok yang diperolehi daripada Pulau Pinang untuk pasaran di kawasan seluruh Taiping.

Katanya, suspek menyimpan sebahagian rokok itu di dalam lori kerana di rumah dan stornya sudah penuh dengan barang sama.

"Suspek bersama barang rampasan bernilai RM2,853,764 diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

"Suspek direman lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 7:21 PM