PASUKAN penyelamat mengangkat mayat seorang daripada mangsa lemas di Betong, Sarawak. FOTO Ihsan Bomba.
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat seorang daripada mangsa lemas di Betong, Sarawak. FOTO Ihsan Bomba.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seorang lagi remaja yang hilang selepas mandi sungai berhampiran Rumah Panjang Batu Lintang, Jalan Ulu Layar di Betong ditemui lemas pada 6.44 petang tadi.

Mayat Afiq Aiman Mohd Adress, 17, ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) yang melakukan pencarian di dasar sungai.

Terdahulu, rakan remaja itu, Norman Syakimie Suria Ariffin, 16, ditemui lemas oleh orang awam kira-kira 4 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kedua-dua mangsa dihanyutkan arus deras ketika sedang asyik berenang di sungai itu.

Mereka ke sungai itu bersama beberapa lagi remaja lain untuk beriadah sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Katanya, susulan panggilan kecemasan yang diterima pada 3.53 petang, sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Susulan penemuan mangsa, operasi itu ditamatkan pada 7.04 malam dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 11:36 PM