Lima anggota polis Unit Pasukan Peronda (MPV) Pulau Pinang dari kiri, Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi, 38; Muhamad Khusairi Ahamad, 30; Muhammad Mustaqim Ismail, 35; Rozaini Abu Hassan, 48; dan Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24, hadir di Mahkamah Bukit Mertajam, dituduh melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakukan kepada seorang lelaki berusia 28 tahun kerana memiliki dadah. FOTO DANIAL SAAD
Lima anggota polis Unit Pasukan Peronda (MPV) Pulau Pinang dari kiri, Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi, 38; Muhamad Khusairi Ahamad, 30; Muhammad Mustaqim Ismail, 35; Rozaini Abu Hassan, 48; dan Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24, hadir di Mahkamah Bukit Mertajam, dituduh melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakukan kepada seorang lelaki berusia 28 tahun kerana memiliki dadah. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Lima anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang pekerja kilang pada Khamis, minggu lalu.

Sarjan Rozaini Abu Hassan,48; Koperal Muhammad Mustaqim Ismail, 35; Lans Koperal Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24; Koperal Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi 38, dan Lans Koperal Muhamad Khusairi Ahamad 30 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh secara bersama didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun.

Mangsa dikatakan melakukan kesalahan kerana memiliki dadah berbahaya sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM4,500.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi menghala ke Simpang Ampat dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 10.15 malam, pada 1 Februari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Mohd Nordin Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguam V S Kumar.

Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati saksi sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon supaya jaminan munasabah diberikan kepada semua anak guamanya dengan alasan masing- masing perlu menanggung isteri, anak yang masih kecil termasuk anak orang kurang upaya (OKU) serta ada isteri tertuduh yang sarat mengandung.

Mahkamah kemudian menetapkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 15 Mac depan untuk serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan lima anggota polis ditahan kerana dipercayai melakukan pemerasan wang berjumlah RM4,500 terhadap pekerja kilang kerana didakwa memiliki dadah di Jalan Permatang Tinggi.

Penahanan kesemua anggota MPV Ibu Pejabat Polis dan Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah termasuk seorang berpangkat Sarjan berusia 24 hingga 48 tahun itu dibuat susulan laporan polis dibuat oleh mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 12:31 PM