Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor berjaya menahan 16 warga asing dalam satu operasi Ops Selera di Taman Tasek di sini, semalam. FOTO JIM NEGERI JOHOR
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor berjaya menahan 16 warga asing dalam satu operasi Ops Selera di Taman Tasek di sini, semalam. FOTO JIM NEGERI JOHOR
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor berjaya menahan 16 warga asing dalam satu operasi Ops Selera di Taman Tasek di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, dalam operasi kira-kira jam 4.40 petang itu, seramai 24 warga asing diperiksa susulan susulan maklumat awam yang diterima menyatakan terdapat warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit yang sah di restoran berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap 24 warga asing, 16 daripadanya ditahan membabitkan tujuh lelaki warga Syria, tiga lelaki Yaman, tiga lelaki Palestin, seorang lelaki Mesir, seorang lelaki Bangladesh serta seorang wanita Filipina.

"Mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 55 tahun itu dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

"Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak dua notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu terbabit dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 12:24 PM