FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian menyimbah cat merah terhadap tiga kenderaan di Taman Selaseh, Batu Caves pada 25 Januari lalu.

Pemangku Ketua Polis Gombak Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, kedua-dua individu berusia 23 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur kelmarin hasil risikan dijalankan.

"Dalam serbuan berkenaan, polis merampas dua telefon pintar komputer riba, sebungkus plastik lut sinar, empat keping nota ugutan, dua tin cat merah, empat botol kosong minyak masak dan tiga topi keledar serta sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Dang Wangi.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek itu positif dadah jenis methephatemine," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakan rekod jenayah mendapati seorang daripada suspek itu mempunyai rekod kesalahan jenayah curi dan juga penyalahgunaan dadah.

"Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari sehingga 10 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada 25 Januari lalu, media melaporkan sebanyak tiga buah kenderaan serta dua pagar rumah dilaporkan disimbah cat merah.

Difahamkan, perbuatan itu dilakukan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along selepas gagal menuntut hutang dari jiran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 2:21 PM