GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal perlu peka dengan tanda isyarat lalu lintas yang dipamerkan sepanjang perjalanan, termasuk pengaktifan laluan Smartlane.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, laluan Smartlane diaktifkan bagi mengurangkan kesesakan.

"Terdapat petugas Plus Malaysia Berhad (Plus) yang memantau penggunaan Smartlane mengikut hari dan waktu yang ditetapkan dengan kerjasama polis.

"Sebagai penunggang motosikal yang berhemah akan sentiasa peka dan berhati-hati ketika berada dalam kesesakan jalan raya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 437.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, yang tular di media sosial.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, motosikal dari arah belakang dipercayai melanggar cermin sisi kanan kereta yang berada di Smartlane, namun penunggangnya tidak berhenti dan beredar sejurus kemalangan.

Mohd Azman berkata, Plus sebagai pengendali lebuh raya sudah membuat hebahan awal mengenai pembukaan Smartlane bagi tujuan kelancaran pergerakan lalu lintas semasa musim perayaan.

Beliau berkata, sebanyak 14 lokasi Smartlane dibuka untuk memudahkan pergerakan lalu lintas sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya, lokasi terbabit didapati sering kali berlaku kesesakan yang ketara akibat peningkatan kenderaan tinggi.

Terdahulu, polis meminta pemandu kereta dan penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 437.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, tampil membuat laporan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati sebuah kereta dipandu di lorong kecemasan dan menggunakan Smartlane yang diaktifkan.

Beliau dipetik berkata, sebuah motosikal dari arah belakang dipercayai melanggar cermin sisi kanan kereta berkenaan, namun penunggangnya tidak berhenti dan beredar sejurus kemalangan.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 6:21 PM