GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Kanak-kanak berusia dua tahun dan penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 10.2 Jalan Batu Caves di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, ketika kejadian mangsa wanita berusia 29 tahun menunggang bersama rakannya dan anak pembonceng berkenaan.

"Tiba di lokasi kejadian kira-kira 8.13 malam motosikal ditunggang mangsa disyaki bergesel dengan sebuah kenderaan lain jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti.

"Penunggang motosikal dan kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pembonceng yang juga seorang wanita tempatan berusia 23 tahun parah dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Katanya, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke sebuah pasar raya di Selayang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 0361262222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 5:12 PM