GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Polis sedang mengesan dua suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian samun bersenjatakan sebilah parang di sebuah kedai runcit di Kebun Baru, Telok Panglima Garang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik kedai runcit terbabit, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun pada 3 petang semalam.

"Menurut laporan pengadu (pemilik), dia menerima panggilan daripada pekerjanya memaklumkan disamun dua lelaki bersenjatakan sebilah parang.

"Siasatan mendapati, suspek mengambil laci yang mengandungi wang tunai, dua tabung masjid serta telefon bimbit milik pekerja mangsa," katanya dalam kenyataan, malam ini.

"Suspek masuk ke dalam kedai dengan menutup muka menggunakan baju yang dijadikan sebagai topeng.

"Seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta jenis Proton Wira berwarna hitam dan tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya," katanya.

Ahmad Ridhwan berkata, susulan kejadian itu, pemilik mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM3,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek yang terbabit.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Balai Polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 11:27 PM