MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Lelaki ditemukan mati berhampiran sebuah kereta di tepi jalan di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, dipercayai akibat dihempap kenderaan itu, awal pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, hasil siasatan pihaknya, kejadian dipercayai berlaku antara 4 dan 6 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa dan seorang rakan disyaki sedang mencuri tabung ekzos kereta berkenaan.

"Lelaki tempatan berusia 40 tahun itu dipercayai mati terhempap selepas peralatan yang digunakan untuk mengangkat kereta berkenaan tiba-tiba terjatuh.

"Dia dipercayai terhempap ketika berada di bahagian tengah kenderaan berdekatan tabung ekzos.

"Kes diklasifikasikan mengikut kematian mengejut," katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, orang awam yang menemui mayat mangsa.

Ahmad Ridhwan berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya kemudian menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun iaitu rakan kepada si mati sekitar kawasan Telok Panglima Garang pada 10.45 pagi semalam.

Katanya, suspek yang ditahan juga mempunyai tujuh rekod jenayah membabitkan kes curi ekzos kenderaan dan pecah rumah serta dua rekod kes narkotik.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan suspek akan direman hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 9:41 AM