HASSAN, gambar fail. FOTO NSTP
HASSAN, gambar fail. FOTO NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Lembaga Pengampunan perlu mengumumkan secara bertulis alasan-alasan keputusan lembaga itu terhadap permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, langkah itu penting bagi memastikan rakyat berpuas hati, tidak lagi mempertikaikan keputusan lembaga berkenaan sekali gus menghormatinya.

Hassan berkata, persoalan timbul siapa sebenarnya yang boleh mententeramkan rakyat dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri itu, dalam keadaan rakyat yang resah, tidak puas hati dan marah-marah.

Oleh itu, beliau berkata, Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, bersama-sama Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara dan tiga anggota lainnya mestilah telus dan berani membentangkan alasan-alasan mengapa keputusan sedemikian diambil terhadap permohonan pengampunan Najib, bagi diteliti masyarakat.

"Adalah tidak munasabah malah menghina rakyat jika Lembaga Pengampunan melalui sekretariatnya, hanya mengeluarkan kenyataan rasmi sekadar sehelai muka surat yang memutuskan hukuman ke atas terhadap Najib dikurangkan 50 peratus dari penjara 12 kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

"Lembaga Pengampunan mesti telus dan berani menyatakan alasan mereka membuat keputusan itu pada 29 Januari lalu kerana ia tidak boleh dirayu serta tidak boleh juga dibicarakan di mahkamah.

"Tidak seperti keputusan-keputusan kerajaan yang lain boleh dicabar di mahkamah di bawah prosiding semakan kehakiman ataupun Judicial Review.

"Oleh kerana itu, demi keadilan, demi ketelusan sesuai dengan prinsip penanggungjawaban, maka 33 juta rakyat Malaysia berhak menuntut Lembaga Pengampunan membentangkan alasan bertulis mereka terhadap keputusan rasmi yang diputuskan terhadap permohonan pengampunan Najib," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 dilaporkan memutuskan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Urusetia Lembaga Pengampunan memaklumkan, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

"Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib Razak akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029," kata kenyataan berkenaan.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkata, rakyat resah, tidak puas hati dan marah walaupun penjelasan sudah dibuat Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh itu, beliau berkata, Lembaga Pengampunan tidak boleh lagi mengelak membentangkan kepada umum secara bertulis alasan keputusan itu.

Apatah lagi, katanya, Lembaga Pengampunan menggunakan alasan bahawa membentangkan sebab keputusan pengampunan lembaga itu termasuk kes Najib secara bertulis kepada umum tidak ada disebut di dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Perlu diingat juga, bahawa tidak ada ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan sabitan bersalah dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada Najib supaya membentangkan alasan penghakiman kes itu secara bertulis kepada umum untuk disemak dan diteliti oleh rakyat dan masyarakat dunia antarabangsa.

"Namun Yang Arif Hakim Mahkamah dengan berani, telus dan penuh bertanggungjawab telah membentangkan alasan penghakiman secara bertulis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 9:51 PM