FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menetapkan jangka masa bagi melahirkan graduan tempatan mencukupi jika mahu membenarkan graduan asing di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan bekerja sementara dalam bidang tertentu di negara ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia kerana penyelesaian untuk mengambil graduan asing memasuki sektor pekerjaan di negara ini hanya langkah sementara.

Menurutnya, kapasiti bagi graduan tempatan wajar ditingkatkan kerana pengambilan pekerja dalam kalangan graduan asing perlu dikurangkan pada masa akan datang.

"Berdasarkan angka defisit yang dikongsi, penyelesaian untuk mengambil graduan asing perlu sebagai langkah sementara.

"Justeru, perlu ada satu tempoh masa jelas yang mana pembinaan kapasiti bagi graduan tempatan perlu ditingkatkan sebab mengambil graduan asing bekerja mesti dikurangkan pada masa depan.

"Namun, masalah jangka panjang yang perlu diselesaikan adalah merungkai persoalan seperti adakah kekurangan jurutera tempatan berkait rapat mengenai pelajar kita yang kurang minat dengan ilmu Matematik dan Sains?" katanya.

Beliau berkata, perkara itu perlu jelas kerana sistem pendidikan negara sudah mengalami pelbagai perubahan.

Menurutnya, tahap pelajar untuk subjek Matematik dan Sains seperti yang ditunjukkan oleh kajian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2022 perlu diambil secara serius.

"Malaysia berada di tangga ke-51 daripada 81 negara dalam kajian Pisa, khususnya dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Malah, kita terburuk dalam kalangan tujuh negara Asean.

"Namun, saya percaya pelajar di Malaysia adalah cerdik dan bijaksana. Namun kenapa subjek Matematik dan Sains sukar untuk mendapat tempat di hati mereka.

"Ini adalah persoalan pokok mesti diselesaikan bagi menghasilkan lebih ramai graduan dalam bidang kejuruteraan," katanya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sedang mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan graduan asing dari IPT tempatan bekerja di negara ini.

Dalam hantaran video di laman X pada Sabtu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata, tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi tinggi amat diperlukan sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 5:40 PM