GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) sedar wujud kelemahan penguasaan pelajar khususnya dalam subjek Sains dan Matematik yang menyumbang kepada kemerosotan ketara skor Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia mengambil kira kedudukan Malaysia yang ditinggalkan negara serantau termasuk Singapura, Vietnam dan Brunei dalam program pentaksiran terbabit.

"Sebanyak lapan negara ASEAN mengambil bahagian dalam kajian PISA 2022 daripada jumlah keseluruhan 81 buah negara.

"Dapatan PISA 2022 menunjukkan bahawa Singapura, Vietnam dan Brunei mengatasi Malaysia dalam ketiga-tiga domain literasi yang ditaksir, manakala Malaysia mengatasi Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja dalam ketiga-tiga domain literasi yang ditaksir," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, dapatan PISA 2022 bagaimanapun turut menunjukkan hasil positif apabila Malaysia mengatasi empat negara ASEAN lain iaitu Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja dalam ketiga-tiga domain literasi yang ditaksir.

"Dalam konteks Malaysia, pencapaian negara menunjukkan trend yang meningkat sejak penyertaan pada pusingan PISA 2009. Bagaimanapun, pencapaian menurun dengan agak ketara dalam pusingan PISA 2022.

"KPM pada masa sama komited dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif sebagai usaha memperbaiki kualiti pencapaian murid dalam pentaksiran pada peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang ingin tahu tindakan KPM susulan prestasi merosot Malaysia dalam PISA 2022.

Sehubungan itu, katanya, KPM meneliti beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksanakan dalam mengatasi kelompangan berkenaan.

"Pertama, KPM bertindak menyemak dan menilai kandungan kurikulum kebangsaan dengan memberi penekanan terhadap keperluan kandungan yang berfokus dan mendalam bagi pembelajaran secara aktif.

"Selain itu, kementerian turut menggalakkan penggunaan peranti digital dalam pembelajaran. Pada masa sama, KPM akan meneliti semula syarat agihan bantuan yang memberi fokus kepada murid sosio ekonomi rendah.

"Antara tindakan lain termasuk meneliti semula agihan sumber secara optimum merangkumi guru, peranti, infrastruktur, bahan sumber dan sebagainya," katanya.

Menjawab soalan tambahan Nurul Amin sama ada wujud keperluan untuk mengembalikan sistem peperiksaan berpusat bagi mengatasi kelompangan ini, Kah Woh berkata, buat masa ini, KPM belum bercadang ke arah itu.

"Setakat ini KPM masih berpandukan sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) iaitu pentaksiran dijalankan oleh guru.

"Selain itu, dalam hal ini , sejak dua tahun lalu, kita telah mulakan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi murid tahun empat hingga enam.

"Data kualiti UASA ini dipantau KPM khasnya melalui Lembaga Peperiksaan," katanya yang turut memberitahu tumpuan turut diberikan kementerian itu bagi meningkatkan literasi Matematik dan Sains menerusi pembangunan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 12:32 PM