Tan Sri Abdul Hamid Bador hadir ke mahkamah susulan saman dikemukakan Indira Gandhi, 49, yang juga guru tadika terhadap empat pihak termasuk KPN kerana gagal menangkap bekas suaminya, Pathmanathan selepas melarikan seorang anak perempuan mereka.  FOTO ASWADI ALIAS
Tan Sri Abdul Hamid Bador hadir ke mahkamah susulan saman dikemukakan Indira Gandhi, 49, yang juga guru tadika terhadap empat pihak termasuk KPN kerana gagal menangkap bekas suaminya, Pathmanathan selepas melarikan seorang anak perempuan mereka. FOTO ASWADI ALIAS
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau memberi petunjuk dirinya atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menahan K Pathmanathan walaupun tahu lokasi bekas suami M Indira Gandhi itu.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu menegaskan perkara terbabit susulan saman dikemukakan Indira Gandhi, 49, yang juga guru tadika terhadap empat pihak termasuk KPN kerana gagal menangkap Pathmanathan selepas melarikan seorang anak perempuan mereka.

Abdul Hamid, 66, berkata beliau dalam beberapa sidang media menyatakan usaha dan tindakan dijalankan untuk mengesan serta menangkap Patmanathan.

Mengikut rekod, katanya, beliau dan PDRM melaksanakan usaha dan tindakan yang wajar bagi mematuhi perintah mahkamah untuk melaksanakan waran komital terhadap lelaki terbabit.

"Pada bila-bila masa, saya dan PDRM tidak membuat apa-apa tinggalan tanggungjawab dalam melaksanakan waran komital kerana siasatan, usaha dan tindakan anggota serta pegawai PDRM untuk mengesan dan menangkap Patmanathan adalah berterusan sehingga kini.

"Saya dan PDRM tidak pernah berniat jahat, sengaja dan cuai dalam mengambil tindakan untuk menangkap Patmanathan dan mengembalikan (kanak-kanak itu).

"Segala tindakan serta usaha yang munasabah dan wajar termasuk memohon bantuan rasmi daripada Polis Antarabangsa (Interpol) dan negara jiran untuk menjejaki Patmanathan masih berjalan hingga kini," katanya menerusi pernyataan saksi defendan.

Indira Gandhi sebagai plaintif menamakan Kerajaan Malaysia, KPN, PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai defendan dalam kes saman terbabit.

Wanita itu mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah Mahkamah Persekutuan apabila gagal menjalankan siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya yang ketika pemfailan saman berusia 13 tahun.

Beliau mendakwa KPN, KDN dan kerajaan berperanan membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah yang sebelum ini dikenali Pathmanathan, seperti diarahkan Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa tindakan semua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antaranya dengan anak bongsu berlanjutan hingga hari ini dan bekas suaminya itu berjaya melarikan diri.

Pada 16 Julai 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan kes saman itu dan keputusan berkenaan dikekalkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 7 September 2022.

Anak Indira Gandhi dilarikan Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan, sejurus selepas lelaki itu memeluk Islam.

Pada 2009, Muhammad Riduan mengislamkan tiga anak mereka tanpa persetujuan Indira Gandhi sebelum ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak itu.

Namun pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama oleh satu pihak adalah batal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira Gandhi pada 2010 dan pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengesahkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis menangkap Muhammad Riduan dan mendapatkan semula kanak-kanak itu untuk dikembalikan kepada ibunya.

Sementara itu, ketika prosiding, Indira Gandhi berkata, anaknya masih belum dikembalikan kepadanya disebabkan KPN tidak mengambil sebarang tindakan hingga hari ini.

"Defendan pertama (KPN) menyatakan dalam kenyataan medianya pada 27 Januari 2020 bahawa arif akan lokasi Patmanathan dan sedang berusaha mencapai 'happy ending' (pengakhiran baik) untuk plaintif.

"Kenyataan defendan pertama dengan jelasnya menunjukkan bahawa beliau mempunyai pengetahuan lokasi Patmanathan, tetapi gagal untuk menangkap lelaki itu dan mengembalikan semula anak kepada saya," katanya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan kemudian menetapkan 7 Mei ini untuk peguam mewakili plaintif dan defendan berhujah secara lisan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 3:53 PM