GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 dan 16 Disember ini untuk perbicaraan kes saman M. Indira Gandhi terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan yang didakwa gagal menangkap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuan yang dilarikan lelaki mualaf itu, 12 tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh perbicaraan itu pada pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian (e-Review) hari ini yang turut disertai peguam Pavitra Loganathan yang mewakili Indira Gandhi manakala Peguam Persekutuan Shazreen Nadia Zulkipli mewakili KPN dan kerajaan.

Peguam Rajesh Nagarajan yang juga mewakili Indira Gandhi selaku plaintif ketika dihubungi berkata mahkamah menetapkan 15 November ini untuk pengurusan kes untuk pihak-pihak menyerahkan dokumen berkaitan perbicaraan kes saman itu.

Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A Dadi turut mengesahkan perkara itu.

Dalam saman yang difailkan 28 Oktober tahun lalu, Indira, 46, mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya, Prasana Diksa yang kini berusia 13 tahun.

Beliau mendakwa kesemua defendan juga berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya itu seperti diarah oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Justeru, beliau menutut RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa defendan pertama (KPN) telah melakukan tort nonfeasance di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan defendan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 6:43 PM