GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan empat hari bermula 6 Februari depan untuk perbicaraan kes saman guru tadika M Indira Gandhi terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan yang didakwa gagal menangkap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuan mereka yang dilarikan lelaki mualaf itu.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A Dadi, tarikh perbicaraan berkenaan ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Andi Razalijaya mewakili Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu.

Indira Gandhi mendakwa Ketua Polis Negara (yang tidak dinamakan) dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah Mahkamah Persekutuan kerana gagal menjalankan siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya, Prasana Diksa yang ketika kejadian berusia 13 tahun.

Beliau mendakwa KPN, KDN dan kerajaan berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah (yang sebelumnya dikenali sebagai K Pathmanathan) seperti yang diarahkan Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa, tindakan semua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan hingga hari ini dan bekas suaminya berjaya melarikan diri.

Sehubungan itu, Indira Gandhi menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon perisytiharan Ketua Polis Negara melakukan salah laku jawatan awam, manakala defendan lain bertanggungjawab secara vikarius bagi tindakan yang dilakukan Ketua Polis Negara.

Pada 16 Julai 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan kes saman terbabit yang kemudian dikekalkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 7 September 2022.

Prasana Diksa dilarikan Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan, sejurus selepas lelaki itu memeluk Islam.

Pada 2009, Muhammad Riduan mengislamkan tiga anak mereka tanpa persetujuan Indira Gandhi sebelum ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak itu, namun pada 2018 Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama secara satu pihak batal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira Gandhi pada 2010 dan pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengesahkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis menangkap Muhammad Riduan dan mendapatkan semula Prasana Diksa untuk dikembalikan kepada ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 2:51 PM