ROBIAH  membersihkan kawasan tapak rumahnya yang musnah dihanyutkan banjir di Kampung Shukor.  FOTO Ghazali Kori
ROBIAH membersihkan kawasan tapak rumahnya yang musnah dihanyutkan banjir di Kampung Shukor. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Banjir besar yang melanda Kampung Shukor, Hulu Dungun pada 25 Januari lalu menghanyutkan 'mahligai' yang menjadi tempat berteduh pasangan warga emas di kampung berkenaan.

Walaupun sudah seminggu insiden itu berlaku, Robiah Seman, 65, masih terbayang-bayang banjir besar yang memusnahkan kediaman yang didiami sejak 42 tahun lalu bersama suami dan tiga anak.

Mengakui trauma dengan kejadian itu, Robiah bersama suami, Tengku Alwi Tengku Ahmad, 64, mengambil keputusan membina kediaman baharu berhampiran rumah anaknya yang terletak tidak jauh dari tapak asal rumahnya.

"Ketika kejadian, makcik berada di rumah anak dan terdengar bunyi yang kuat dan nampak rumah hanyut yang disangkakan rumah sepupu.

"Sebelum itu, orang kampung bagi tahu rumah sepupu yang hanyut tetapi tak sangka rumah makcik turut dihanyutkan banjir.

"Sebab itu makcik takut dan tidak mahu duduk di sini (tapak asal), jadi makcik dan suami ambil keputusan bina rumah di tempat lain sebab takut kejadian sama berulang," katanya yang tinggal di rumah anaknya buat sementara waktu.

Menurutnya, dia memperoleh kekuatan untuk melihat tapak rumahnya pada Ahad lalu.

"Sejak daripada hari itu, setiap hari makcik akan datang ke sini untuk tengok dan ambil mana-mana barang yang boleh digunakan sehingga suami akhirnya memasang kanvas sebagai tempat berteduh.

"Sudah 42 tahun kami duduk di sini tetapi dalam sekelip mata, kami hilang tempat berteduh dan sebab itu, makcik datang ke sini pada sebelah siang untuk tengok rumah dan ambil mana-mana barang yang masih boleh digunakan walaupun rumah sudah tiada," katanya sebak.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri di Kampung Shukor tidak dapat menahan sebak apabila melihat kediaman dihanyutkan dalam banjir besar pada 25 Januari lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan pasangan itu hilang tempat berteduh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 4:21 PM