MOHD Fauzi (tiga kanan) beramah mesra bersama peniaga ketika mengadakan lawatan dan pemantauan aktiviti pencegahan serta kawalan Covid-19 di Pasar Awam Dengkil. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MOHD Fauzi (tiga kanan) beramah mesra bersama peniaga ketika mengadakan lawatan dan pemantauan aktiviti pencegahan serta kawalan Covid-19 di Pasar Awam Dengkil. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman


MAJLIS Perbandaran Sepang (MPSepang) berpuas hati dengan tahap pematuhanPerintah Kawalan Pergerakan (PKP) penduduk bawah seliannya yang kini sudah mencapai 99 peratus.

Yang DiPertua MPSepang, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, penduduk di Sepang sudah mula memahami serta akur dengan semua arahan PKP yang kini sudah memasuki fasa kedua itu.

Katanya, pada peringkat awal, kadar pematuhan PKP masyarakat di Sepang kira-kira 80 peratus kerana kebanyakan daripada penduduk masih keliru dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sepanjang tempoh perintah terbabit.

“Kini bila PKP sudah masuk fasa kedua, masyarakat sudah tahu peranan mereka. Hanya keluar bila perlu, pakai penutup hidung dan mulut ketika keluar serta memakai cecair pembasmi kuman dan menjaga jarak sosial masing-masing.

“Malah, pemilik premis perniagaan juga turut faham mengenai peranan mereka iaitu hanya berniaga dalam tempoh yang diberikan serta menyediakan cecair pembasmi kuman di premis masing-masing dan menghadkan jumlah pembeli untuk memasuki kedai mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan pemantauan aktiviti pencegahan serta kawalan Covid-19 di Pasar Awam Dengkil, hari ini.

Mohd Fauzi berkata, selain itu pihaknya turut melaksanakan operasi nyah kuman secara harian di beberapa kawasan tumpuan seperti pasar awam di sekitar Sepang.

“Operasi nyah kuman mula dilaksanakan selepas tamat semua aktiviti di empat pasar awam iaitu di pasar awam Sepang, Dengkil, Sungai Pelek dan Salak.

“Selain operasi itu, pihak MPSepang turut meletakan beberapa orang penguatkuasa untuk memantau keadaan pasar awam terbabit serta setiap pengunjung yang mahu memasuki pasar awam terbabit perlu disaring terlebih dahulu seperti memeriksa suhu badan. Sekiranya suhu badan mereka melebihi had yang dibenarkan, kita meminta mereka untuk pergi ke klinik berdekatan.

“Pegawai yang bertugas juga akan sentiasa menasihatkan pengunjung untuk memakai topeng penutup mulut dan hidung sepanjang mereka berada di pasar awam berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 1:00 PM