GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP/ROHANIS SHUKRI
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP/ROHANIS SHUKRI
BERNAMA

Ipoh: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) giat mengedarkan benih bawang merah kepada lima petani terpilih bagi penanaman bawang tempatan secara besar-besaran.

Pegawai Penyelidik Kanan MARDI Wan Rozita Wan Engah dalam kenyataan berkata institut itu menyasarkan pengeluaran bawang sebanyak 30 metrik tan semusim di kawasan penanaman seluas lima hektar tahun ini.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu petani akan diberikan bimbingan teknikal menerusi kursus dan latihan serta dibekalkan dengan benih bawang secara percuma untuk musim pertama.

"Aktiviti pengkomersialan akan ditingkatkan sebanyak 10 hektar setiap tahun berikutnya dengan pemantauan dan khidmat nasihat oleh pakar MARDI secara berterusan, sehingga usahawan berjaya melaksanakan sepenuhnya," katanya.

MARDI katanya akan memantau kaedah penanaman dan siraman sebelum melihat prestasi pokok bawang termasuk ketahanan terhadap serangan serangga dan penyakit.

"Selepas itu, kita akan membuat pemantauan akhir penanaman dan melihat proses penuaian untuk memastikan bawang yang dihasilkan mempunyai kualiti yang tinggi dan setara dengan bawang yang berada di pasaran," katanya.

Menurut kenyataan itu, Wan Rozita hari ini mengadakan lawatan ke kawasan penanaman bawang di Kuala Bikam, Bidor, Batang Padang.

Pada lawatan itu sebanyak 1.5 metrik tan bawang merah jenis BAW-1 diserahkan kepada petani Tan Cheng Choy yang mengusahakan tanaman itu di kawasan seluas satu hektar.

Tan menyifatkan bantuan benih bawang itu membolehkan petani kecil sepertinya meningkatkan pendapatan bulanan.

"Saya harap tanaman bawang ini dapat membuahkan hasil yang lumayan kerana bawang mempunyai permintaan tinggi di pasaran berbanding tanaman-tanaman lain yang saya usahakan," katanya.

Sebelum ini, Wan Rozita dilaporkan berkata penanaman bawang berskala besar akan dilaksanakan di Daerah Batang Padang, Perak dan Serdang, Selangor di bawah Jabatan Pertanian, bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada bawang import dalam tempoh lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 8:52 PM