Amir Abd Hamid


Serdang: Malaysia dijangka mengeluarkan bawang merah tempatan dalam skala besar-besaran pada 2023.

Justeru, kebergantungan import sepenuhnya bawang merah akan dapat dikurangkan sekitar 30 peratus hingga 40 peratus.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Mafi) Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, projek perintis ladang bawang sudah dimulakan di tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Bermula dengan projek penanaman bawang di kawasan tanah Mardi seluas sehektar di Bachok, Kelantan.

"Insya-Allah jika perkara ini berlaku dengan baik, kita akan membuat penuaian yang pertama pada September akan datang.

"Pertengahan 2023 kita memperluaskan ke seluruh Malaysia kepada petani yang berminat dan dijangkakan 2023 juga kita mungkin dapat mengeluarkan bawang sendiri antara 30 peratus hingga 40 peratus keperluan negara sekali gus mengurangkan kebergantungan sepenuhnya import bawang merah pada masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Sekuriti Makanan Negara dan tanaman bawang merah di Laman Direktorat, Ibu Pejabat Mardi Serdang, di sini, hari ini.

DATUK Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani melawat ladang projek tanaman bawang seluas 1 ekar pada di Laman Diketorat, Ibu Pejabat MARDI Serdang. FOTO HAZREEN MOHAMAD
DATUK Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani melawat ladang projek tanaman bawang seluas 1 ekar pada di Laman Diketorat, Ibu Pejabat MARDI Serdang. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Hadir sama, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur Mardi, Dr Zulhazmi Sayuti.

Haslina berkata, lima variati bawang yang sesuai dengan agroiklim Malaysia dan tahan daripada serangan perosak serta penyakit sudah dikenalpasti untuk projek penanaman bawang itu.

"Malaysia mengimport sepenuhnya bawang dan tahun lalu sebanyak 484,867 metrik tan bernilai RM902.5 juta diimport untuk memenuhi permintaan pengguna.

"Pada 2021, purata penggunaan per kapita tahunan bawang di Malaysia adalah 17 kilogram per tahun dan nilai purata penggunaan adalah 1.4 kilogram per bulan.

"Harga bawang yang tidak stabil dan kos import tinggi menyebabkan bebanan kepada pengguna Malaysia," katanya.

Beliau berkata, bawang merah tempatan boleh dilaksanakan tiga musim penanaman setahun.

Mengikut kajian, katanya, sehektar keluasan tanah boleh ditanam sehingga 220,000 pokok bawang dan produktiviti sehektar boleh meningkat hingga sembilan metrik tan.

"Insya-Allah bawang tempatan yang kita hasilkan boleh dijual sekitar RM6 lebih sekilogram di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 1:41 PM