GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kota Kinabalu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan mengeluarkan senarai terkini 13 individu dikehendaki oleh pihak berkuasa keselamatan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti militan, kata Komandernya Datuk Victor Sanjos.

Tanpa mengulas lanjut tarikh senarai itu dikeluarkan, beliau berkata, kajian sedang dijalankan Cawangan Khas Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ESSCOM memainkan peranan memantau pergerakan mereka yang disenaraikan itu.

Beliau berkata, pihaknya percaya kebanyakan individu yang disenaraikan itu kini berada di luar kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

"Kita mahu pastikan tiada (individu disenarai) yang merentas masuk sempadan ke kawasan ESS Zone. Kalau kita tidak mengambil tindakan cepat, mereka juga boleh menganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman di kawasan ESS Zone.

"Individu lain (yang dikehendaki) telah diambil tindakan, sama ada oleh kita atau daripada pihak keselamatan di Filipina," katanya.

Pada 27 Januari tahun lalu, ESSCOM mengeluarkan senarai 20 individu warga asing sebagai orang dikehendaki pihak berkuasa kerana terbabit dalam kes penculikan untuk wang tebusan di perairan ESS Zone.

Mengulas lanjut, Victor berkata, ESSCOM juga berjaya menahan lima suspek dalam beberapa operasi berasingan di Sabah pada tahun ini yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti militan dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan mengikut undang-undang negara, bagaimanapun maklumat lanjut berkaitan penahanan itu tidak dapat didedahkan kerana masih dalam siasatan dan risikan pihak berkuasa.

"Walaupun ESSCOM dalam keadaan terkawal, kita akan tingkatkan penguatkuasaan, operasi dan perkukuh risikan sama ada dari dalam dan luar negara," katanya.

Beliau menekankan bahawa rekod sifar penculikan sejak Januari 2020 sehingga kini membuktikan pasukan keselamatan di ESS Zone berhasil mengekang ancaman militan dan membendung jenayah rentas sempadan.

Victor berkata, ia adalah hasil kerjasama pertukaran maklumat risikan serta operasi pencegahan secara bersepadu dan konsisten yang dijalankan oleh ESSCOM selain kekerapan operasi pihak berkuasa Filipina yang melumpuhkan rangkaian militan serta penculikan untuk wang tebusan.

Dalam pada itu, beliau berkata, ESSCOM juga memandang serius jika terdapat cubaan merekrut warga tempatan bagi melaksanakan atau menyokong sebarang ideologi berkaitan militan serta ancaman yang ingin diwujudkan oleh mana-mana kumpulan militan atau pengganas terutamanya di kawasan Pantai Timur.

Namun, Victor berkata, setakat ini pihak berkuasa tidak mengesan sebarang gerakan yang menjurus ke arah itu berikutan penahanan tali barut sebelum ini yang memberi pengajaran kepada penduduk setempat agar tidak bersekongkol dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

"Paling penting ialah maklumat, kalau kita ada maklumat sama ada dari luar negara atau dalam negara, kita juga minta kerjasama daripada komuniti ESS Zone jika ada penampakan atau maklumat (individu mencurigakan) beritahu kita supaya tindakan dapat diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 3:39 PM