Victor Sanjos
Victor Sanjos
BERNAMA

Kota Kinabalu: Kerjasama dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone) dalam kalangan komuniti adalah penting bagi memastikan keselamatan di kawasan itu, kata Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos.

Justeru, beliau berkata ESSCOM menjalankan sesi libat urus bersama komuniti di kawasan ESS Zone yang membuahkan hasil amat baik menjadikan hubungan antara pihak keselamatan dengan komuniti itu akrab, sekali gus menjadi mata dan telinga mendapatkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan.

"Kerjasama dan pematuhan penduduk kepada perintah itu oleh komuniti maritim terutamanya nelayan sangat baik. ESSCOM melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa menjalankan sesi libat urus dengan penduduk setempat.

"Penguatkuasaan dijalankan dari semasa ke semasa dengan penduduk sama ada yang tinggal di pulau atau pesisir pantai, penyelidik, nelayan pesisir pantai atau pelancong tempatan dan asing bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan serta peraturan pihak berkuasa di ESS Zone," katanya kepada Bernama.

Victor berkata, sebanyak 45,243 permit pengecualian PKP, yang sebelum ini dikenali sebagai perintah berkurung, telah dikeluarkan khusus untuk nelayan menjalankan aktiviti perikanan sejak Januari 2021 hingga 30 September tahun ini.

Beliau berkata, permit itu diberikan kepada nelayan yang keluar melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai sejak perintah itu diperkenalkan bermula 2014 bagi mengekang jenayah rentas sempadan sejak Tragedi Tandou pada 2013.

Pada 16 Oktober lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata Kementerian Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara serta kerajaan Sabah bersetuju untuk menjenamakan semula perintah berkurung kepada PKP dan mengeluarkan Tawau daripada pelaksanaannya.

Justeru, PKP ESS Zone kini hanya membabitkan perairan tiga batu nautika ke perairan sempadan antarabangsa di daerah Sandakan, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran dan Kinabatangan, bermula 6 petang hingga 6 pagi, berkuat kuasa 17 Oktober lalu.

Victor berkata, selepas 10 tahun penubuhan ESSCOM, agensi itu terus memberi fokus untuk mengekang gelombang kedua pencerobohan anasir asing dan penyusupan militan ke Sabah khususnya melalui kawasan perairan ESS Zone.

ESSCOM juga katanya, mengkoordinasi operasi dijalankan setiap agensi keselamatan di ESS Zone melalui Operasi Sanggah khusus untuk mengekang elemen jenayah rentas sempadan, kemasukan pendatang haram, menghapuskan struktur haram yang menjadi transit atau tempat tinggal pendatang tanpa izin dan bagang serta aktiviti mengebom ikan dapat dibanteras.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini hingga September lepas, agensi itu juga telah menjalankan operasi tersendiri iaitu sebanyak sembilan siri operasi membabitkan op bersepadu, op gasak laut dan op bersepadu khas dengan kerjasama pelbagai pihak serta agensi Persekutuan dan negeri.

"ESSCOM juga giat menjalankan kerjasama dengan Western Mindanao Command, Armed Forces of the Philipines, Philipine Police National dan Kepolisian Negara Republik Indonesia. Selain itu, ESSCOM turut terbabit dalam inisiatif mekanisme kerjasama pelbagai hala Perjanjian Kerjasama Trilateral Malaysia-Indonesia-Filipina," katanya.

Victor berkata, kerjasama itu adalah bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan di laut, perkongsian maklumat dan memastikan perairan ketiga-tiga negara selamat daripada jenayah rentas sempadan.

Dalam pada itu, ESSCOM yang juga agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri katanya, merancang untuk meningkatkan kawalan pasukan keselamatan di ESS Zone dari segi pembangunan, perolehan aset taktikal dan sumber manusia.

Antaranya pembinaan Pos Poirgon, Kalabakan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 yang dikendalikan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), memperkukuh pengawasan di sempadan melalui Sistem Radar Pengawasan Laut (SWASLA), perolehan aset taktikal iaitu floating boat di Sungai Aji Kuning, Pulau Sebatik dan bot laju yang ditempatkan di pesisir dan perairan Tawau.

Penempatan kompeni daripada batalion 14 PGA, Tawau untuk memperkuat keupayaan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia bertindak sebagai langkah awal pengukuhan kawalan sempadan sebelum penubuhan PGA dengan kekuatan satu batalion di Nabawan, Keningau dan Kunak.

"Terdapat juga cadangan perolehan pesawat tanpa pemandu (UAV), dron dan kamera jarak jauh yang dioperasikan ESSCOM bagi mengesan dan memantau sasaran yang mencurigakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 12:36 PM