AHMAD Zamry (dua kanan) menunjukkan kabel tembaga milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bernilai RM80,000 yang dilarikan enam ahli geng Sathiya yang berjaya ditahan. FOTO Ahmad Ismail
AHMAD Zamry (dua kanan) menunjukkan kabel tembaga milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bernilai RM80,000 yang dilarikan enam ahli geng Sathiya yang berjaya ditahan. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Segamat: Polis menumpaskan Geng Sathiya dianggotai enam lelaki tempatan yang dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan kecurian kabel di sekitar ini, semalam.

Ketua Polis Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata kesemua suspek berusia antara 24 hingga 44 tahun ditahan di Felda Kemelah dan Jalan Muar, di sini.

Katanya, penahanan itu dilakukan enam jam selepas polis menerima laporan berhubung kehilangan kabel tembaga milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dianggarkan bernilai RM80,000.

"Polis menerima laporan kejadian di stesen KTMB Tenang, pada 5.03 pagi, semalam.

"Susulan itu, kita menahan enam lelaki tempatan dan merampas gergaji besi, alat pemotong dan kabel tembaga KTMB dalam sebuah lori kecil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini.

Ahmad Zamry berkata, turut dirampas sebuah kereta Proton Wira dan siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Siasatan mendapati taktik sindiket itu adalah melakukan pemotongan kabel awal pagi untuk mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa.

"Dengan tertangkapnya enam Geng Sathiya ini, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian kabel di sekitar Segamat," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 4:27 PM