ABD Rozak (dua kiri) bersama pegawai menunjukkan senapang angin dirampas daripada sindiket curi kabel TM dikenali Geng Shahrul Kabel. FOTO Azlan Hafeedz
ABD Rozak (dua kiri) bersama pegawai menunjukkan senapang angin dirampas daripada sindiket curi kabel TM dikenali Geng Shahrul Kabel. FOTO Azlan Hafeedz
Azlan Hafeedz


POLIS menumpaskan sindiket dikenali 'Geng Shahrul Kabel' yang aktif mencuri kabel telefon milik Telekom Malaysia Berhad (TM) apabila empat ahlinya ditahan di tiga lokasi berasingan di Pasir Puteh, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 1 tengah hari hingga 4 petang, empat lelaki berusia antara 23 dan 35 tahun termasuk ketua sindiket terbabit dikenali Shahrul diberkas sepasukan polis di Kampung Kubang Sawa, Sungai Durian dan Bendang di Bukit Abal.

Polis turut merampas selaras senapang angin, telefon bimbit, satu tiub straw berisi serbuk putih disyaki dadah, beberapa guni kabel siap dipotong milik TM, dua kereta dan sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abd Rozak Mohamad berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan dijalankan pihaknya.

"Dalam serbuan pertama di Kampung Kubang Sawa, kami menahan seorang suspek berusia 23 tahun yang juga adik kepada suspek utama berusia 35 tahun.

"Susulan daripada tangkapan itu, kami menahan tiga lagi suspek di lokasi berasingan termasuk suspek utama dikenali Shahrul," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi digunakan sindiket terbabit adalah menggunakan dua kenderaan memiliki enjin kuasa tinggi itu untuk menarik kabel keluar dari tanah.

"Siasatan awal mendapati Shahrul sanggup menggunakan senapang angin bertujuan untuk menakutkan sesiapa yang cuba mengganggu kegiatan mereka.

“Semua suspek yang memiliki rekod jenayah lampau kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (1960), Seksyen 4 (A) (a) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 291 Akta Kesalahan Kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 5:38 PM