LORI dan tangki menyimpan diesel bersubsidi dipercayai untuk diseludup. FOTO Ihsan Polis.
LORI dan tangki menyimpan diesel bersubsidi dipercayai untuk diseludup. FOTO Ihsan Polis.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis menahan empat lelaki dan merampas 81,400 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Plentong, Masai di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 9.30 malam itu, empat lelaki berusia 32 hingga 43 tahun ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan dengan memindahkan diesel daripada tangki jenis skid ke dalam lori, selain daripada lori ke tangki IBC.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pemeriksaan di premis menemukan empat tangki skid dan tiga tangki IBC mengandungi bahan bakar itu berjumlah 81,400 liter.

"Terdapat juga lima pam berserta meter, tiga pam tidak bermeter dan hos yang disambungkan dengan beberapa lori," katanya.

"Semua tangki skid dan IBC yang ditemui dirampas bersama diesel bersubsidi dengan nilai rampasan keseluruhan dianggar RM920,022," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 10:02 PM