Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Hanya sempat melaram 10 minit dengan kenderaan baru dicuri. Itu tindakan seorang penjenayah yang berjaya diberkas polis di Pasir Panjang di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan pemilik kereta Perodua Kelisa berusia 42 tahun mendakwa kenderaan dilarikan penjenayah.

Dalam kejadian jam 9 pagi, Ahad lalu, mangsa meninggalkan kenderaan miliknya di hadapan kedai makan di Jalan Besar Pasir Panjang di sini.

"Mangsa bagaimanapun ternampak suspek masuk ke dalam keretanya dan cuba melarikan kenderaan itu. Mangsa cuba menghalang namun gagal," katanya semalam.

Bertindak atas aduan itu, anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson bertindak menjejaki kereta itu sebelum berjaya menahan suspek pada jam 9.10 pagi.

"Suspek ditahan di Batu 5.5, Pasir Panjang dan hasil siasatan mendapati suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau," ujarnya.

Aidi Sham berkata, suspek berusia 34 tahun kini ditahan reman sehingga 1 Februari hadapan.

"Orang awam dinasihati berhati-hati ketika meninggalkan kenderaan dengan memastikan ia berkunci dan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 12:38 PM