Polis sedang menyiasat kereta milik perompak tauke kedai emas dalam kejadian di Stesen minyak Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Polis sedang menyiasat kereta milik perompak tauke kedai emas dalam kejadian di Stesen minyak Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Satu beg berisi barangan kemas yang dilarikan lima lelaki bersenjatakan parang pada kejadian di sebuah stesen minyak di Lukut semalam, dianggarkan bernilai RM500,000.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dua lagi beg barangan kemas yang dilarikan penjenayah bagaimanapun ditemui semula dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV yang terbalik di hadapan deretan kedai tidak jauh daripada stesen minyak berkenaan.

"Berdasarkan siasatan awal, tiada unsur 'orang dalam' walaupun ada pihak yang mengatakan seolah-olah kes samun itu sudah dirancang kerana penjenayah tahu mangsa membawa barangan berharga.

"Kami percaya, penjenayah sudah mengekori mangsa sejak daripada awal sehingga ke stesen minyak itu sebelum mangsa disamun," katanya dihubungi hari ini.

Aidi Sham berkata, usaha mengesan suspek masih berjalan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan.

"Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di 06-6462999," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, seorang pemilik kedai emas disamun lima lelaki bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak di Lukut.

Kejadian jam 10.15 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 50 tahun berhenti untuk mengisi minyak.

Lima suspek meluru keluar daripada dua kenderaan sebelum memecahkan cermin kereta mangsa dan melarikan tiga beg barangan kemas, telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi mangsa.

Kesemua suspek dapat melarikan diri dengan kenderaan lain yang dipandu rakan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 3:13 PM