GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Seperti dijangka penetapan kadar gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei serta perang antara Rusia dan Ukraine mula dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sehingga pengguna semakin tertekan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Misalnya, menjelang hujung Mei ini harga semua barang keperluan dijangka melonjak sekitar 50 hingga 60 peratus susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan sikap peniaga yang tamak untuk mendapat untung besar. Hakikatnya beberapa harga barangan keperluan asas seperti ayam, daging dan hampir semua jenis sayur-sayuran sudah naik mendadak sebelum Aidilfitri baru-baru ini. Ironinya, kenaikan harga barangan keperluan asas, misalnya banyak melibatkan barang mentah dan ini sekali gus memberi kesan berantaian membabitkan kedai makan dan restoran yang akhirnya terpaksa menaikkan harga jualan.

Secara prinsipnya, harga barangan bergantung kepada permintaan serta penawaran barang berkenaan dan peniaga melihat kenaikan gaji minimum akan meningkatkan kuasa beli pengguna, justeru peniaga mula mengambil kesempatan untuk meningkatkan harga.

Keadaan menjadi semakin parah apabila faktor sampingan lain turut memberikan impak kenaikan harga seperti perang Rusia dan Ukraine yang menjejaskan sektor import sehingga penawaran berkurangan sedangkan permintaan terus meningkat. Akhirnya, peniaga memilih jalan mudah dengan menaikkan harga, manakala pengguna pula tersepit dan tiada pilihan lantas terpaksa membeli demi kelangsungan hidup.

Jujurnya, pada ketika ini pengguna terpaksa berhadapan dengan situasi dua kali kenaikan harga di mana harga barangan telah naik sebelum pelaksanaan gaji minimum iaitu ketika sambutan Aidilfitri dan sekarang berhadapan dengan kenaikan kali kedua pasca pelaksanaan gaji minimum. Situasi ini menyaksikan kos sara hidup harian pengguna semakin meruncing dan ramai mula tertekan. Jelas sekali kesejahteraan hidup rakyat pada saat ini sangat terjejas.

Walaupun gaji minimum naik tetapi kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barangan yang mula disifatkan sebagai 'harga Yahudi' menyebabkan pengguna seolah-olah tidak dapat sebarang faedah tambahan untuk nilai gaji baharu kerana jumlah perbelanjaan harian terus bertambah. Ringkasnya, apa yang kita lihat sekarang ialah kenaikan harga barangan tidak sepadan dengan pertambahan pendapatan dan akhirnya menjadi wal hasil balik asal.

Niat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dengan menaikkan kadar gaji minimum adalah sangat baik dan dialu-alukan, namun sikap tamak dan tidak bertanggungjawab peniaga menjejaskan manfaat penetapan kadar gaji minimum yang patut dinikmati rakyat.

Tatkala kehidupan rakyat semakin terhimpit dan keadaan ekonomi belum pulih susulan serangan pandemik sejak dua tahun lalu, kita tidak boleh membiarkan peniaga pula memberi tekanan tambahan kepada pengguna. Sepatutnya peniaga sama-sama memahami keadaan ekonomi rakyat dan bertindak dengan lebih bertanggungjawab dan bukannya mementingkan diri sendiri. Ini bukan masanya untuk mengejar keuntungan dengan cara menaikkan harga dan menyusahkan kehidupan rakyat.

Justeru, diharap pihak berkuasa akan terus memantau dan menguatkuasakan undang-undang tanpa kompromi ke atas semua peniaga yang degil dan cuba mengambil kesempatan serta meraih keuntungan segera dengan menekan pengguna. Tindakan peniaga menaikkan harga barangan kawalan misalnya adalah tidak boleh diterima sama sekali walau dengan apa alasan sekalipun. Aktiviti licik kelompok yang degil dan tamak ini wajar dilabel sebagai menzalimi pengguna dan perlu diberi pengajaran sewajarnya untuk dijadikan iktibar peniaga lain.

Justeru, di samping dikenakan kompaun dan penalti mengikut akta yang ada, disyorkan lesen peniaga degil dan sengaja menaikkan harga khususnya melebihi harga kawalan atau siling ditarik atau dibatalkan serta merta. Mereka tidak layak berniaga kerana menekan dan menganiaya pengguna terutama pada waktu getir sekarang.

Dalam pada itu, kompaun yang dikenakan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 juga boleh diteliti dan mungkin boleh ditambah lagi supaya para peniaga ini lebih takut untuk melakukan kesalahan tersebut. Untuk rekod, pada ketika ini bagi pesalah individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, dan pesalah syarikat pula berdepan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000. Oleh kerana masih ramai melakukan kesalahan ini timbul persoalan apakah kadar denda ini rendah dan belum mampu menakutkan mereka?

Selain itu, pengguna juga boleh mengajar peniaga yang tamak dengan cara membuat aduan kepada pihak berkuasa jika mendapati peniaga menaikkan harga. Sikap berdiam diri, tidak peduli dan tutup mata melihat perbuatan peniaga yang menjual dengan harga mahal menyebabkan mereka bermaharajalela, jadi kita perlu agresif dengan membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Malah, inilah juga masanya untuk kita menggunakan kuasa sebagai pengguna untuk 'menghukum' peniaga degil, misalnya jika sesuatu barangan itu didapati dijual pada harga yang tidak munasabah, semua pengguna seharusnya sepakat untuk tidak membelinya dengan memboikot barangan itu. Hal ini penting kerana jika pengguna boleh bersatu dan bekerjasama kita mampu menundukkan keegoan para peniaga.

Kita juga berharap agar persatuan pengguna terus memainkan peranan dari segi menyedarkan pengguna tentang hak dan kuasa supaya sama-sama dapat mewujudkan pengguna bijak, cakna dan boleh melindungi diri daripada kezaliman peniaga.

Tuntasnya, ekonomi rakyat semakin meruncing dengan beban kenaikan harga barangan yang tidak munasabah. Kita tidak boleh membiarkan situasi ini berterusan kerana memberi tekanan hebat kepada kelangsungan hidup semua golongan pengguna khususnya kelompok rentan.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 6:00 AM