DEWAN Rakyat. FOTO YouTube Parlimen
DEWAN Rakyat. FOTO YouTube Parlimen
Hakim Mahari

Kuala Lumpur: Pelbagai cadangan timbul susulan kenyataan kerajaan bahawa penjawat awam baharu tidak lagi akan terbabit dengan skim pencen selaras usaha meringankan beban fiskal negara pada masa depan.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Pendirian itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, akan mencecah RM120 bilion setahun.

Sehubungan itu, antara cadangan yang dikemukakan adalah supaya perkara itu dimulakan terlebih dahulu membabitkan menteri, Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) supaya mereka menjadi contoh terbaik kepada penjawat awam selepas ini.

Idea itu adalah turut dicadangkan oleh Pemuda UMNO diikuti oleh Pemuda MCA supaya kelompok berkenaan dilihat menjadi contoh utama dalam menerima perubahan itu.

Dalam masa yang sama, CUEPACS turut melontarkan perkara itu dengan mengatakan bahawa MP dan ADUN sepatutnya menjadi contoh kepada perubahan itu memandangkan ramai wakil rakyat yang menerima gaji dan elaun tinggi, hanya berkhidmat sekitar lima tahun sebelum layak mendapat pencen sepanjang hayat.

Menurut Akta Ahli Parlimen (Pembayaran Gaji) 1980, gaji bulanan seorang MP, termasuk elaun mereka, boleh mencapai purata RM25,700.

Selain itu, MP boleh membuat tuntutan pelbagai elaun atau subsidi untuk tujuan tertentu antaranya layak menerima RM400 sehari untuk menghadiri mesyuarat Parlimen dan elaun satu kali seumur hidup sebanyak RM1,000 setiap tiga tahun untuk membeli pakaian rasmi hitam.

Berikut adalah gaji dan senarai elaun yang mereka layak terima:

Gaji: RM16,000 sebulan

Kehadiran mesyuarat Parlimen: RM400 sehari

Kehadiran mesyuarat agensi kerajaan atau bengkel: RM300 sehari

Elaun keraian: RM2,500 sebulan

Bayaran istimewa untuk MP bukan dalam pentadbiran: RM1,500 sebulan

Elaun perjalanan tetap: RM1,500 sebulan

Elaun bahan api: RM1,500 sebulan

Elaun tol: RM300 sebulan

Elaun pemandu: RM1,500 sebulan

Pembelian telefon bimbit: Hingga RM2,000 setiap dua tahun

Elaun bil telefon: RM900 sebulan

Pembelian komputer: Hingga RM6,000

Bantuan bayaran pakaian black tie : RM1,000 setiap tiga tahun

Elaun pakaian rasmi istiadat: Hingga RM1,500

Elaun pakaian sejuk

Lesen kenderaan percuma

Lawatan rasmi - Penerbangan kelas eksekutif

Lawatan rasmi - Penerbangan kereta api kelas pertama

Tugasan domestik melebihi 32 kilometer dari rumah: Elaun hotel sehingga RM400 semalam

Bayaran harian semasa perjalanan perniagaan: Dalam negara - RM100 semalam/ Antarabangsa - RM170 semalam

Elaun makanan semasa di luar negara: RM340 semalam

MP juga layak mendapat pencen selepas menamatkan 36 bulan perkhidmatan yang boleh diambil kira dan mencapai usia 50 tahun.

Sementara itu, ADUN dilaporkan menerima elaun bulanan antara RM6,000 dan RM15,000 setiap seorang secara purata.

Ini memandangkan ADUN dari Sarawak mencatatkan gaji bulanan tertinggi sehingga RM15,000, diikuti oleh Melaka sebanyak RM12,000, Selangor dan Pulau Pinang masing-masing RM11,500 manakala Kedah, Terengganu dan Pahang masing-masing sebanyak RM11,000.

ADUN Perak dan Perlis pula menerima gaji terendah sekali iaitu RM6,000 sebulan.

Penyesuaian gaji terbaru untuk ADUN berdasarkan kenaikan pada tahun 2013, kecuali Melaka (2023), Sabah (2022), Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, dan Pahang (2015), serta Negeri Sembilan (2014).

Malahan beberapa MP dan ADUN juga memegang jawatan di syarikat berkaitan kerajaan yang boleh memberi mereka wang tambahan sebanyak RM40,000 hingga RM50,000 sebulan.

Terdahulu, Kabinet dilaporkan bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen dan pengumuman mengenai tempoh serta tarikh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas tetapi golongan baharu yang dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berita berkaitan:

Sistem penyumberluaran lebih berkesan berbanding kontrak - Pakar ekonomi

Hak berpencen penjawat awam dijamin dalam perlembagaan - Pensyarah Undang-Undang

Perak ikut kerajaan pusat, penjawat awam baharu tidak berpencen

'Kaji dulu pencen kepada ahli politik'- Cuepacs

'Jadi ahli parlimen tak sampai lima tahun dapat pencen'

Tak adil, wakil rakyat pula nikmati pencen sehingga mati - Pemuda Umno

Jangan jejas sektor perkhidmatan awam - Muhyiddin

Pemansuhan pencen: Jumlah penjawat awam pasti menyusut - PN

Wakil rakyat, menteri perlu dahului pemansuhan skim pencen - MCA

Mansuh dulu skim pencen wakil rakyat, menteri - Netizen

Penjawat awam tetap baharu tidak berpencen - TPM

Penjawat awam dilantik secara kontrak dalam fasa interim

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 12:31 PM