GAMBAR hiasan penjawat awam. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan penjawat awam. FOTO Bernama
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Isu pemansuhan skim pencen penjawat awam menjadi perdebatan hangat di media sosial yang rata-ratanya membangkang keputusan kerajaan itu.

Ramai antara mereka mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan pencen wakil rakyat dan menteri terlebih dahulu bagi meringankan beban tekanan kewangan negara.

Bagi mereka, kerajaan perlu lebih berhati-hati dengan pemansuhan skim pencen berkenaan bagi mengelak kehilangan penjawat awam ke sektor swasta.

Ini kerana sebahagian besar daripada 1.6 juta kakitangan awam pada masa ini mengisi sektor penting dan kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan.

"Kerja tak sampai lima tahun sebagai Ahli Parlimen, diberi pencen.

"Kerja lebih 30 tahun sebagai pencen, tiada pencen. Adil ke tak? kata Facebook Hartal Kontrak.

Selain itu, seorang netizen, Zaitun Mas mencadangkan kerajaan juga perlu dilantik dengan kontrak dan tidak perlu menunggu lima tahun.

"Mansuhkan pencen ahli parlimen dulu ye, maklum la jadi kerajaan sekejap tapi dapat pencen banyak.

"Yang kerja berpuluh tahun pun tak besar mana pencen, buat rugi je, hutang negara makin meningkat sebab 'rolling' bayar pencen ahli parlimen," katanya.

Bagi netizen dikenali Abd Razak, kerajaan tidak boleh mengamalkan pilih kasih dengan melakukan kepada rakyat.

"Nak hapus boleh tapi jangan pada rakyat saja. Menteri, Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri), Ahli Parlimen wajib dimansuhkan pencen juga sebab korang pun rakyat yang bagi kuasa, korang wajib buat dulu," katanya.

Terdahulu media melaporkan, pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam adalah langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan membabitkan pindaan akta berkaitan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Beliau dipetik berkata, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak pun terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 12:57 PM