Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksanaan skim tidak berpencen bagi penjawat awam baharu terpakai turut bagi pelantikan politik.

Beliau yang bersetuju keputusan itu secara berprinsip berkata ia termasuk bagi ahli politik yang dilantik memegang jawatan dalam Jemaah Menteri, menteri besar termasuk wakil rakyat.

Mengulas lanjut keputusan itu, beliau menegaskan ia tiada masalah untuk dilaksanakan untuk menyesuaikan dengan pelantikan membabitkan ahli politik.

"Apa saja keputusan yang ditetapkan bagi penjawat awam akan terpakai juga bagi ahli-ahli politik.

"Maknanya kalau kita mula pada 1 Februari, semua kemasukan baharu itu... tidak berpencen, maka itu juga sama untuk (merangkumi) semua pelantik baharu ahli politik.

"Jadi ada orang kata mengapa tidak (termaktub sama ahli politik). Soal lain ada yang pernah jadi menteri besar, jadi menteri dan kemudian jadi timbalan perdana menteri, itu menunjukkan perlembagaan kita boleh kani tetapi tak boleh kebelakangkan retrospektif.

"Untuk yang baharu kita boleh kaji. Saya ingat kita tidak ada masalah kita nak tukar penyesuaian ini.

"Jadi pada prinsipnya, saya bersetuju supaya apa saja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam terpakai bagi pelantikan politik tetapi dimuktamadkan setelah kajian dibawa dan Jemaah Menteri (akan) memutuskan," katanya pada sidang media sebelum makan tengah hari di sebuah restoran di sini hari ini.

DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Aswadi Alias
DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Aswadi Alias

Terdahulu, terdapat gesaan supaya pencen membabitkan ahli politik dibuat selepas media melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin berkata, Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Ahmad Zahid dilapor berkata satu pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaan akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Media sebelum ini melaporkan, pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam adalah langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan membabitkan pindaan akta berkaitan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak.

Pengumuman itu sekali gus mencetuskan polemik apabila bukan saja kebanyakan rakyat tidak bersetuju, bahkan orang politik juga senada.

Ia selepas Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, menggesa cadangan pemansuhan pencen wakil rakyat dilaksanakan terlebih dahulu sebelum melaksanakan kepada penjawat awam.

Alasannya, semua pihak bukan saja rakyat perlu menanggung tekanan kewangan malah orang politik juga.

Justeru, Dr Muhammad Akmal akan membawa cadangan Pemuda Umno supaya pemansuhan skim pencen dimulakan dalam kalangan wakil rakyat, akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 2:08 PM