Sebahagian anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang yang menyertai Majlis Pembukaan Latihan APM Pulau Pinang 2024, di Jalan Batu Feringghi, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Sebahagian anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang yang menyertai Majlis Pembukaan Latihan APM Pulau Pinang 2024, di Jalan Batu Feringghi, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pulau Pinang mencatatkan rekod tertinggi dalam operasi menyelamat mangsa di pantai sepanjang tahun lalu.

Berikutan itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memberi lebih penekanan terhadap latihan menyelamat akuatik terutama di kawasan pantai di negeri ini.

Pengarah APM Pulau Pinang, Leftenan Kolonel (PA) Ishak Mohd Radzi berkata, sebanyak 194 kes membabitkan penyelamatan mangsa di pantai ditangani APM termasuk kes pokok tumbang dan ancaman ular sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 56 kes membabitkan tugasan menyelamat mangsa lemas.

"Kebanyakan kes lemas membabitkan kejadian yang berlaku di pantai popular dan paling ramai pengunjung seperti Batu Feringghi.

"Justeru, kita juga akan menerapkan latihan akuatik kepada komuniti dan penuntut selain warga APM ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Latihan APM Pulau Pinang 2024 di Jalan Batu Feringghi, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, bagi tugasan menyelamat di pantai, APM Pulau Pinang mempunyai unit khas yang sepanjang masa berada di lokasi.

Katanya, mereka ditempatkan di empat menara penyelamat pantai atau 'baywatch' di daerah Timur Laut selain satu lagi di daerah Barat Daya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 2:24 PM