BERNAMA

Putrajaya: Seorang pengarah syarikat yang menghadapi pertuduhan melakukan sabotaj dengan mendatangkan kemudaratan kepada perkhidmatan air di negeri Selangor membabitkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dibenar diikat jamin RM50,000 oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azizah Nawawi membenarkan Lim Kian Aik, 43, diikat jamin sementara menunggu perbicaraannya di Mahkamah Tinggi.

Keputusan majoriti oleh Hakim Azizah dan Datuk Supang Lian yang membenarkan permohonan Lim untuk diikat jamin selepas memutuskan Lim tertakluk di bawah Seksyen 13(2) (c) SOSMA yang memperuntukkan ikat jamin boleh diberikan kepada tertuduh yang sakit. Hakim Datuk Ghazali Cha pula menentang keputusan itu.

Hakim Azizah berkata, Lim disahkan menderita sindrom koronari akut dan seorang pegawai perubatan dari klinik Penjara Sungai Buloh berpendapat bahawa dia (Lim) berisiko tinggi menderita serangan jantung dan merupakan orang yang sakit dari perspektif perubatan.

Beliau membenarkan Lim, 43, dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin dan mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat seminggu sekali.

Pada 23 Nov tahun lalu, Lim dan kontraktor R. Nathan, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang terhadap pertuduhan melakukan sabotaj dengan niat untuk mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di negeri Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox , Rawang, Gombak di sini antara 2 dan 10 Nov lalu.

Mereka juga menghadapi lima pertuduhan lain mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Memandangkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan yang mengguna pakai prosedur SOSMA, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-kedua tertuduh.

Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, Lim yang diwakili peguam Wan Kok Cheong berhujah bahawa anak guamnya yang telah ditahan di Penjara Sungai Buloh hampir enam bulan, menderita sindrom koronari akut dan perlu diberi ubat secara teratur dan akses berjumpa doktor.

Wan turut membentangkan laporan perubatan oleh Institut Jantung Negara (IJN) mengenai keadaan perubatan Lim.

Beliau berkata kes Lim telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah menetapkan 23 April untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Azmi Mashud yang dibantu TPR Mohd Zain Ibrahim, berhujah permohonan ikat jamin Lim harus difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes itu telah dipindahkan ke mahkamah itu.

Wan memberitahu pemberita keluarga Lim akan membayar ikat jamin itu.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 5:45 PM