KEADAAN kebakaran yang menyebabkan dua beradik wanita melecur di sebuah rumah di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Nibong Tebal. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN kebakaran yang menyebabkan dua beradik wanita melecur di sebuah rumah di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Nibong Tebal. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad

DUA beradik wanita melecur di bahagian kaki dan tangan sejurus rumah didiami mereka di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Nibong Tebal, terbakar petang tadi.

Kejadian menyebabkan mangsa, G Malini, 33 dan G Nirmala Devi,39, dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk rawatan kecemasan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 petang berhubung insiden berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mengesan kebakaran di bahagian bilik utama rumah berkenaan.

"Dua beradik yang sedang berehat dikatakan melecur di bahagian kaki dan tangan ketika mereka cuba lari menyelamatkan diri," katanya.

Jelasnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap berada di lokasi kejadian untuk operasi memadamkan kebakaran itu.

"Kemusnahan yang berlaku sekitar 15 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 6:36 PM