FADILLAH Yusof (tengah) menghadiri taklimat mengenai Loji Rawatan Air Telibong Fasa II semasa membuat lawatan di sini hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
FADILLAH Yusof (tengah) menghadiri taklimat mengenai Loji Rawatan Air Telibong Fasa II semasa membuat lawatan di sini hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
Rafiqah Dahali


Tuaran: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof enggan mengulas lanjut peletakan jawatan Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Speaker Dewan Negara buat masa ini.

Beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebaliknya berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara terbabit dalam tempoh terdekat ini.

"Yang itu (komen mengenai peletakan jawatan Wan Junaidi) jangan dulu. Tunggu nanti saya (keluarkan kenyataan), itu belum lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mendengar taklimat mengenai status Loji Rawatan Air Telibong Fasa II, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Wan Junaidi disebut-sebut akan menyandang jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud.

Pada Jun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu keluar daripada persaraan demi berkhidmat untuk negara apabila menerima tawaran untuk mengisi kekosongan jawatan Speaker Dewan Negara.

Wan Junaidi menggantikan Tan Sri Rais Yatim, yang tamat perkhidmatan pada 16 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 4:09 PM