SEBAHAGIAN peralatan memproses dadah yang dirampas.
SEBAHAGIAN peralatan memproses dadah yang dirampas.
Teoh Pei Ying


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan satu sindiket yang dipercayai menghasilkan dadah sebelum dieksport ke Aceh, Indonesia dengan penahanan tujuh individu, selain merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM4.5 juta dalam lima serbuan di sekitar Lembah Klang, Isnin lalu.

Difahamkan, sindiket berkenaan menggunakan laluan udara untuk membawa keluar dadah. Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kang Chez Chiang berkata, tujuh suspek berusia antara 29 hingga 52 tahun itu ditahan di lima lokasi di Rawang dan Gombak di Selangor serta di ibu negara.

Suspek terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita ditahan antara jam 7.30 hingga 10.15 malam Isnin lalu oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

“Antara dadah yang dirampas ialah 28.1 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 1.6kg syabu dan 6,690 pil yaba.

“Serbuan pertama di Jalan Loke Yew di sini, polis menahan seorang lelaki yang membawa ke sebuah kondominium di Templer Park, Rawang yang dijadikan makmal mini dadah.

“Kami menemui pelbagai jenis dadah dan peralatan digunakan untuk memproses bahan terlarang itu di kediaman terbabit,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak, semalam.

Kang berkata, pihaknya kemudian menahan dalang sindiket bersama teman wanitanya warga Vietnam di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Gombak.

“Seorang lelaki ditahan di Taman Setia Jaya, Rawang, dan tiga lagi termasuk seorang wanita ditahan di Jalan Loke Yew di sini.

“Dengan penahanan itu, polis berjaya menumpaskan sindiket yang menghasilkan dan menyeludup ekstasi untuk pasaran tempatan dan Indonesia.

“Bahan itu bernilai tiga kali lebih tinggi kira-kira RM13.5 juta di Aceh,” katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai memperoleh bekalan dari luar negara dan aktif lebih dari enam bulan.

Turut dirampas wang tunai bernilai RM147,000, tiga kereta, jam tangan, pelbagai barang kemas dan mata wang Vietnam bernilai RM140.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 4:27 AM