GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menerima laporan dibuat anggota polis bantuan terbabit dalam pertengkaran dengan orang awam di Jalan Kerinchi 2, Bangsar South, yang video mengenainya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian itu didapati berlaku pada 28 November lalu, sebelum video berdurasi dua minit tujuh saat dikesan tular semalam.

"Video itu memaparkan pertengkaran antara anggota polis bantuan dengan orang awam yang kini mendapat 378,000 jumlah tontonan, 2,900 tanda suka, 1,600 komen serta 244 perkongsian.

"Kejadian jam 3.30 petang itu disebabkan teguran dibuat anggota polis bantuan berkenaan yang sedang melaksana tugas kawalan statik di kawasan berkenaan terhadap seorang lelaki.

"Lelaki terbabit yang dikatakan menunggang motosikal dalam keadaan laju dan melulu tidak berpuas hati dengan teguran itu, menyebabkan dia meninggikan suara terhadap anggota polis bantuan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keadaan reda selepas pertengkaran itu dileraikan pengguna jalan raya lain dan insiden dipercayai dirakam tanpa pengetahuan pihak terbabit.

"Laporan polis dibuat oleh anggota polis bantuan terbabit untuk pencerahan berkaitan kejadian berkenaan dan rujukan kepada majikannya.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 12:23 AM