TANGKAP layar dari rakaman CCTV yang tular.
TANGKAP layar dari rakaman CCTV yang tular.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS mengesan seorang lelaki warga asing bekerja di sebuah kilang di Bandar Teknologi Kajang, di Kajang, yang didakwa dipukul oleh majikannya.

Terdahulu, status tular di media sosial yang mendakwa seorang pekerja lelaki warga Bangladesh sering dibelasah dan diperlakukan seperti hamba abdi oleh majikannya.

Dalam status yang tular itu turut terdapat dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai berlaku di kilang berkenaan memaparkan seorang lelaki disyaki majikan memarahi dua pekerjanya.

Rakaman pada 14 Ogos lalu jam 11.30 pagi itu yang berdurasi hampir dua minit memaparkan majikan terbabit memarahi dua pekerja sebelum bertindak memukul dan menampar seorang daripada mereka (pekerja) menggunakan satu objek.

Malah, lelaki terbabit juga dilihat mengejar pekerja berkenaan yang melarikan diri bagi mengelak dirinya dipukul hingga ke sebuah bilik dan berterusan memukul mangsa.

Menurut status tular itu, pekerja terbabit tidak berani untuk membuat laporan polis kerana pasport mereka didakwa dipegang oleh majikan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kami menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 Ogos lalu. Selepas laporan dibuat, mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Selepas mendapatkan rawatan, mangsa gagal dihubungi dan usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan memandangkan pihak polis memerlukan lelaki berkenaan bagi siasatan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 10:29 AM